Kaspersky Saran Perniagaan Bentuk Saluran Pengesahan Susulan Gangguan IT
KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Syarikat keselamatan siber Kaspersky berkata organisasi perlu mewujudkan saluran komunikasi yang disahkan dan mengukuhkan langkah keselamatan siber untuk melindungi kakitangan serta pelanggan daripada potensi penipuan semasa gangguan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) yang besar.
Penyelidik Kanan Keselamatan Pasukan Penyelidikan & Analisis Global Kaspersky (GReAT), Leonid Bezvershenko berkata gangguan Microsoft 365 pada 12–13 Nov 2026, yang mengganggu alatan tempat kerjanya, menimbulkan kekeliruan dan keadaan mendesak yang cepat dieksploitasi oleh penipu.
“Apabila saluran komunikasi biasa terputus, kakitangan dan pelanggan berkemungkinan mudah percaya dengan mesej yang menawarkan kemaskini atau jalan pintas untuk memulihkan akses.
"Untuk organisasi yang tidak melaksanakan penyelesaian keselamatan siber dalam menyekat pengalihan berniat jahat atau tingkah laku rangkaian yang tidak normal, keadaan ini boleh merebak kepada sesuatu yang jauh lebih serius daripada kelewatan aliran kerja yang singkat," katanya melalui satu kenyataan.
Bezvershenko berkata penjenayah siber boleh mengeksploitasi insiden sedemikian dengan menghantar e-mel palsu atau mesej teks yang menyamar sebagai pasukan Microsoft atau IT, mengeluarkan permintaan penetapan semula kata laluan palsu dan berkongsi pautan pemulihan palsu untuk mencuri butiran log masuk pengguna termasuk kod pengesahan berbilang faktor (MFA).
Oleh itu, beliau berkata pasukan keselamatan juga harus memerhatikan sebarang percubaan penyamaran, bergerak pantas untuk menyekat domain yang kelihatan sama dan pastikan kakitangan meja bantuan mengikuti prosedur pengesahan yang ketat.
“Bagi pengguna akhir, amalan yang baik adalah menggunakan penyelesaian antivirus yang boleh dipercayai untuk kekal berjaga-jaga dan dilindungi daripada percubaan penipuan seperti itu,” kata Bezvershenko.
-- BERNAMA