Firma Aeroangkasa Perancis Digesa Perluas Pemerolehan Tempatan Untuk Perkukuh Industri - Johari
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa syarikat aeroangkasa Perancis untuk memperluas pemerolehan tempatan dan bekerjasama rapat dengan pembekal Malaysia bagi membantu memperkukuh industri aeroangkasa domestik.
Beliau berkata Malaysia telah membina keupayaan dalam bidang struktur aero, komposit lanjutan, kejuruteraan jitu, serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), dengan syarikat- aeroangkasa Perancis memainkan peranan penting membangunkan keupayaan tersebut.
Johari berkata Malaysia boleh melangkah lebih jauh ke dalam aktiviti bernilai lebih tinggi seperti kejuruteraan termaju, reka bentuk, penyelidikan, dan teknologi hak milik.
"Saya menggalakkan syarikat aeroangkasa Perancis untuk meningkatkan penglibatan dengan pembekal Malaysia, memperluas pemerolehan tempatan, serta membantu membangunkan ekosistem aeroangkasa domestik yang lebih menyeluruh.
“Perkongsian ini mesti mewujudkan peluang bagi syarikat Malaysia untuk memperoleh keupayaan yang diperlukan bagi bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya semasa berucap merasmikan Forum Perniagaan Perancis–Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Macron sedang dalam lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia bermula Isnin atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, lawatan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada Mei 2017.
Johari berkata lebih 660 syarikat Perancis telah menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan di Malaysia, dengan membawa pelaburan, teknologi, dan kepakaran ke dalam pelbagai sektor, daripada semikonduktor dan aeroangkasa sehinggalah kepada tenaga, bahan termaju, dan kejuruteraan.
Beliau berkata syarikat seperti STMicroelectronics, Airbus, Safran, Air Liquide dan Technip Energies telah membantu membangunkan keupayaan teknikal tempatan, mengukuhkan rantaian bekalan domestik serta menghubungkan perusahaan Malaysia dengan rangkaian pengeluaran antarabangsa.
Mengenai tenaga boleh baharu, Johari mengalu-alukan kerjasama dengan syarikat kejuruteraan dan teknologi Perancis, sambil berkata biojisim dan biogas yang dihasilkan oleh kilang kelapa sawit di Malaysia boleh ditukar menjadi tenaga boleh baharu dan dijual kepada grid nasional.
Beliau turut menyeru kerjasama lebih kukuh dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, dengan menyentuh mengenai peluang dalam penyelidikan gunaan, pembangunan teknologi, penyelesaian keselamatan siber serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi.
Mengenai rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah yang sedang berlangsung, Johari berkata perbezaan pandangan berhubung akses pasaran dan keperluan kawal selia merupakan isu yang masih belum diselesaikan.
“Perjanjian menyeluruh dan seimbang akan memberikan akses pasaran yang lebih luas kepada perniagaan, meningkatkan kebolehramalan kawal selia, serta mewujudkan asas yang lebih kukuh bagi perdagangan dan pelaburan dua hala,” katanya.
-- BERNAMA