Perancis Peroleh Bekalan Unsur Nadir Bumi Menerusi Perjanjian Dengan Malaysia – Macron
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Perancis akan memperoleh sebahagian daripada hasil pengeluaran unsur nadir bumi daripada sebuah projek di Malaysia menerusi kerjasama antara kedua-dua negara, kata Presiden Perancis Emmanuel Macron.
Macron menyifatkan pengaturan itu sebagai situasi menang-menang, dengan pengekstrakan dan pemprosesan unsur nadir bumi dilaksanakan di Malaysia, manakala Perancis akan memperhalusi bahagiannya di negara itu.
“Malaysia akan menjalankan pengekstrakan dan pemprosesan di sini, manakala kami akan memperoleh sebahagian daripada hasil pengeluaran dan boleh menjalankan proses penapisan di negara sendiri,” katanya pada Forum Perniagaan Perancis-Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir pada forum itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Macron berkata perjanjian antara syarikat Perancis, Carester dan syarikat perlombongan Malaysia, Malaco Mining Sdn Bhd merupakan tonggak penting kerjasama dua hala dalam bidang mineral kritikal.
Beliau berkata menteri dari kedua-dua negara mengadakan seminar mengenai perkara itu semalam dan berterima kasih kepada Malaysia kerana mempercepat proses kelulusan permit, memandangkan Perancis mahu projek berkenaan dilaksanakan dengan segera.
Kerjasama itu, katanya, akan membantu menjamin bekalan bahan mentah bagi industri Perancis dan merupakan sebahagian daripada usaha negara itu mempelbagaikan sumber bekalan mineral kritikal.
Beliau berkata China telah membangunkan kapasiti yang besar dalam industri unsur nadir bumi dan mineral kritikal lain, menyebabkan banyak negara bergantung kepada negara itu untuk mendapatkan bekalan.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia berminat menarik lebih banyak pelaburan dari Perancis dalam sektor pemprosesan unsur nadir bumi, selain komited memperluas aktiviti berkenaan secara selamat dan mesra alam sekitar.
Macron kini dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Malaysia yang bermula semalam atas jemputan Anwar. Lawatan itu merupakan kunjungan pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan pada Mei 2017.
-- BERNAMA