RUU Tadbir Urus AI Akan Lengkapkan Undang-undang Sektoral Sedia Ada – Kementerian Digital

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) berasaskan risiko yang akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan bakal melengkapi undang-undang mengikut sektor sedia ada, menurut Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong.

Beliau berkata, agensi peneraju Kementerian Digital iaitu AI Malaysia Bhd sedang membangunkan rangka kerja penguatkuasaan bagi cadangan undang-undang berkaitan AI tersebut.

“Keutamaan akan sentiasa diberi kepada aspek keselamatan dan bagi sistem autonomi berkeupayaan tinggi, ini bermakna pengujian, pemantauan dan pengawasan manusia perlu dilaksanakan sebelum penggunaannya diperluas,” kata Wilson.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian menerusi ucaptamanya pada majlis pembukaan Smart Nation Expo 2026 di sini hari ini.

Beliau memaklumkan Institut Keselamatan AI Malaysia yang sedang ditubuhkan di bawah AI Malaysia Bhd akan memberi tumpuan kepada penanda aras keselamatan, penilaian risiko dan pelaporan insiden.

Sementara itu, piawaian MY-AI Malaysia sedang dibangunkan dengan kerjasama SIRIM Bhd.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Dari segi penggunaan AI dalam kalangan perniagaan, kerajaan akan membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mengguna pakai AI melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Belanjawan 2027 yang turut menyokong sasaran melengkapkan 200,000 individu dengan kemahiran AI,” kata Wilson.

Dianjurkan oleh Informa Markets Malaysia Sdn Bhd,  Smart Nation Expo 2026 menampilkan lebih 200 jenama dan syarikat pempamer.

Dalam satu kenyataan hari ini, Informa Markets Malaysia memaklumkan ekspo itu menghimpunkan penyedia teknologi, wakil kerajaan, pemimpin perniagaan dan profesional industri bagi memajukan agenda bandar pintar, inovasi digital dan perubahan bandar Malaysia.

Edisi kelima itu menyediakan platform untuk menterjemahkan keutamaan digital negara kepada penyelesaian praktikal, peluang perniagaan dan penggunaan teknologi yang lebih meluas.

“Pameran ini diadakan ketika Malaysia sedang melaksanakan Malaysia Digital 2030 iaitu pelan tindakan nasional bagi tempoh 2026 hingga 2030.

“Pelan itu menetapkan sasaran beraspirasi tinggi termasuk sumbangan ekonomi digital sebanyak 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pewujudan 500,000 pekerjaan digital bernilai tinggi, penjimatan RM4.5 bilion dalam sektor awam serta penyediaan 95 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian sepenuhnya dari awal hingga akhir,” menurut Informa Markets.

-- BERNAMA