BERITA TERKINI   Operasi SAR tragedi kepala air di Sungai Luit tamat, mangsa terakhir ditemukan - JBPM | 

Industri Sawit Malaysia Bersedia Penuhi Keperluan EUDR - MPOB

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Industri sawit Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR), disokong kerangka kemampanan yang telah lama dibangunkan, pensijilan nasional mandatori serta usaha berterusan memperkukuh kebolehkesanan digital sepanjang rantaian bekalan.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam kenyataan memaklumkan bahawa Malaysia kini beralih daripada sekadar menyatakan komitmen terhadap kemampanan kepada pelaksanaan sistem yang mampu membuktikan, menerusi maklumat yang boleh disahkan, sumber minyak sawit, kaedah pengeluarannya serta pergerakannya sepanjang rantaian bekalan.

"Menjelang tarikh pelaksanaan EUDR, keutamaan Malaysia adalah memastikan kerangka kemampanan sedia ada diterjemahkan kepada maklumat yang boleh dipercayai, mudah diakses dan disahkan bagi membantu pengendali serta pengeksport memenuhi tanggungjawab usaha wajar masing-masing," menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner

MPOB memaklumkan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) diperkenalkan pada 2013 dan mula dilaksanakan pada 2015, mencerminkan pengiktirafan negara bahawa pengeluaran bertanggungjawab dan pemeliharaan alam sekitar merupakan asas penting kepada daya saing jangka panjang industri berkenaan.

Standard MSPO 2.0 di bawah MS 2530:2022 menyediakan jaminan menerusi pensijilan pihak ketiga bebas yang merangkumi pematuhan undang-undang, perlindungan alam sekitar, kebolehkesanan, perlindungan sosial serta amalan pengeluaran bertanggungjawab.

Setakat ini, sebanyak 92.36 peratus daripada 5.7 juta hektar kawasan tanaman kelapa sawit di Malaysia telah memperoleh pensijilan MSPO, termasuk kira-kira 181,000 pekebun kecil persendirian, sekali gus mencerminkan komitmen negara untuk menjadikan kemampanan sebagai tanggungjawab bersama seluruh industri.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Walaupun pensijilan MSPO tidak secara automatik membuktikan pematuhan kepada EUDR, pensijilan itu menyediakan bukti sokongan penting kepada pengendali dalam melaksanakan usaha wajar, khususnya bagi membuktikan pengeluaran yang sah, pengurusan tanah secara bertanggungjawab dan amalan kemampanan," menurut kenyataan itu.

Dalam usaha memperkukuh kebolehkesanan digital, MPOB memaklumkan bahawa Malaysia sedang membangunkan dan menambah baik tiga sistem digital yang saling melengkapi, iaitu GeoSAWIT, e-MSPO dan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS).

"Pada masa hadapan, ketiga-tiga sistem ini akan disepadukan secara berperingkat bagi mewujudkan kerangka kebolehkesanan digital yang lebih menyeluruh untuk industri sawit Malaysia.

"Penyepaduan ini bertujuan menghubungkan maklumat geospatial, rekod pensijilan dan data urus niaga komersial bagi menyediakan gambaran lebih menyeluruh mengenai rantaian bekalan, daripada kawasan pengeluaran sawit dan lot pekebun kecil hingga kepada peniaga, kilang serta pengendali industri lain," menurut kenyataan itu.

Selain itu, usaha Malaysia menyelaraskan kerangka kemampanannya dengan keperluan antarabangsa turut menerima pengiktirafan yang menggalakkan, termasuk daripada Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan dan Produk Pengguna Belanda (NVWA).

Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB Datuk Badrul Hisham Mohd berkata pendekatan Malaysia terhadap kemampanan melangkaui sekadar memenuhi keperluan kawal selia.

"Kami komited untuk membuktikan, menerusi pensijilan yang diyakini, data yang boleh dipercayai dan rantaian bekalan yang telus, bahawa minyak sawit Malaysia dihasilkan secara bertanggungjawab.

"Yang sama pentingnya, kami mahu memastikan setiap segmen industri, termasuk pekebun kecil persendirian, terus berpeluang menyertai dan mendapat manfaat daripada pasaran antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA