Malaysia Alu-alukan Pelaburan Perancis Bagi Menyokong Grid Tenaga ASEAN - Fadillah
KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Malaysia mengalu-alukan pelaburan dari Perancis untuk membangunkan kilang pembuatan kabel dasar laut dan daratan di negara ini bagi menyokong pembangunan infrastruktur Grid Tenaga ASEAN (APG) pada kos yang lebih kompetitif.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kehadiran pengeluar kabel di rantau ini amat penting memandangkan projek penyambungan grid serantau melibatkan jarak yang jauh serta laluan kabel dasar laut merentasi sempadan negara anggota ASEAN.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata Perancis mempunyai kepakaran dalam keseluruhan rantaian nilai tenaga, termasuk pembuatan turbin serta kabel dasar laut dan daratan yang diperlukan bagi merealisasikan rangkaian grid berkenaan.
"Perancis mempunyai kepakaran dalam keseluruhan rantaian nilai tenaga. Oleh itu, kita perlu mempertimbangkan perkara ini dan turut mengalu-alukan pelabur dari Perancis yang berminat untuk menubuhkan kilang pembuatan kabel di negara ini.
"Jika kabel dapat dibuat di sini, kos pembinaan dan pemasangan kelak akan menjadi lebih kompetitif," katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Bersama Media 2026 di sini hari ini.
Selain pembuatan kabel, Fadillah berkata kerjasama sektor tenaga antara Malaysia dan Perancis turut merangkumi penerokaan potensi tenaga nuklear, termasuk latihan teknikal, pemindahan teknologi serta libat urus dengan orang awam.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kapasiti dan kepakaran tenaga tempatan bagi menyokong pelaksanaan pelan peralihan tenaga negara dalam jangka panjang.
Inisiatif APG merupakan projek utama di bawah Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) yang bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga serantau serta memudahkan perdagangan tenaga boleh baharu merentas sempadan negara anggota.
-- BERNAMA