BERITA TERKINI   Operasi SAR tragedi kepala air di Sungai Luit tamat, mangsa terakhir ditemukan - JBPM | 

Lapangan Terbang Shenzhen, Hong Kong Sedia Sambut Pemimpin Dunia Sempena APEC

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

SHENZHEN (China), 17 Nov (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao’an mempergiat persiapan bagi menyambut ketibaan pemimpin dunia, delegasi dan petugas media antarabangsa sempena Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026, dengan proses ketibaan berjalan lancar dan teratur.

Daripada hiasan bertemakan APEC dan kaunter maklumat khas kepada urusan imigresen yang dipercepat serta perkhidmatan pengangkutan ulang-alik percuma, persiapan itu mencerminkan usaha bandar di selatan China berkenaan untuk memastikan ketibaan delegasi berjalan lancar menjelang penganjuran satu daripada perhimpunan diplomatik paling penting di rantau ini.

Ad Banner
Ad Banner

Tinjauan Bernama mendapati proses ketibaan di lapangan terbang itu berjalan lancar, dengan pengaturan khas bagi urusan imigresen dan kastam membolehkan delegasi serta peserta APEC yang layak menyelesaikan urusan pemeriksaan dalam tempoh kurang daripada 15 minit.

Proses yang dipermudah itu disokong oleh laluan khas bagi mempercepat urusan pemeriksaan yang disediakan pihak berkuasa kastam dan imigresen untuk delegasi APEC, petugas media serta tetamu kenamaan (VIP), selain sistem pemeriksaan bagasi awal bagi mengurangkan masa menunggu dan kesesakan di balai ketibaan.

Lapangan terbang itu turut dihiasi dengan dekorasi dan paparan bertemakan APEC, manakala pusat maklumat khusus disediakan bagi membantu peserta yang tiba mendapatkan panduan arah, maklumat acara serta urusan logistik lain.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi peserta yang tiba menerusi Hong Kong, kemudahan turut disediakan di luar kawasan lapangan terbang.

Dari 9 hingga 20 Nov, peserta APEC China 2026 yang layak dan tiba di Hong Kong menerusi penerbangan kendalian Cathay Pacific berhak menikmati perkhidmatan pengangkutan sambungan percuma dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong ke Shenzhen, sekali gus menyediakan pilihan perjalanan tambahan kepada delegasi antarabangsa.

Penyelarasan kemudahan itu dilaksanakan ketika semakin ramai pemimpin dunia mula tiba di Shenzhen menjelang Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC selama dua hari pada 18 dan 19 Nov.

Antara pemimpin yang telah tiba ialah Perdana Menteri Kanada Mark Carney, Perdana Menteri Papua New Guinea James Marape, Presiden Vietnam To Lam, Presiden Chile Jose Antonio Kast dan Presiden Mexico Claudia Sheinbaum Pardo.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijangka tiba di Shenzhen pada awal pagi 18 Nov selepas menyelesaikan urusan rasmi di Filipina bagi mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu.

Perhimpunan itu turut menarik perhatian antarabangsa berikutan jangkaan ketibaan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin, selain Presiden China Xi Jinping.

Ketiga-tiga pemimpin itu dijadualkan mengadakan pertemuan tiga hala buat kali pertama di Shenzhen pada 19 Nov, di luar acara rasmi sidang kemuncak APEC, yang dijangka menjadi antara acara diplomatik utama perhimpunan itu.

Terletak di wilayah Guangdong di selatan China dan bersempadan dengan Hong Kong, Shenzhen berkembang daripada sebuah perkampungan nelayan kecil menjadi bandar raya metropolitan antarabangsa moden serta antara pusat ekonomi, pembuatan dan teknologi utama negara itu sejak diiktiraf sebagai Zon Ekonomi Khas pertama China pada 1980.

Pengerusi APEC tahun ini memberi tumpuan kepada tiga keutamaan, iaitu keterbukaan, inovasi dan kerjasama, bagi memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta menangani cabaran baharu yang dihadapi ekonomi global.

-- BERNAMA