Margin Rizab Elektrik Diunjur Pada Paras 24 Hingga 27 Peratus Bagi 2027-2035 – PETRA
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Margin rizab elektrik bagi tempoh 2027 hingga 2035 diunjurkan pada paras 24 hingga 27 peratus, kata Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Beliau berkata unjuran itu berdasarkan Mesyuarat Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) pada 11 Nov lepas, dengan kerajaan terus mengekalkan perancangan bekalan elektrik yang berdaya harap bagi menampung pembangunan pusat data.
“Langkah kawalan permintaan bagi pengguna tenaga berintensif tinggi, termasuk pusat data, turut dikenal pasti sebagai langkah mitigasi.
“Bagi mengelakkan kos pembangunan pusat data dipindahkan kepada pengguna domestik, kadar Connected Load Charge (CLC) telah dipertingkat untuk mengurangkan tempahan kapasiti yang berlebihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Dewan Rakyat hari ini.
Abdul Rahman berkata struktur tarif Voltan Tinggi Ultra (UHV) yang berkuat kuasa pada 1 Julai, 2025 pula terpakai kepada pengguna pusat data bervoltan melebihi 50 kilovolt.
Kementerian itu katanya, turut mengambil maklum cadangan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) supaya laporan JPPPET dikeluarkan kepada umum.
Mengenai permintaan air bagi pusat data, Abdul Rahman berkata penggunaan air oleh sektor itu di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan diunjurkan sebanyak 445.04 juta liter sehari menjelang 2030.
Bagi mengurangkan penggunaan air terawat, sebanyak 19.5 juta liter sehari air pulih guna telah digunakan dari empat loji rawatan kumbahan di Selangor dan Johor.
“Melalui garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pusat data perlu menyediakan simpanan air sekurang-kurangnya untuk dua hari, mengutamakan sumber alternatif dan menanggung kos penambahan infrastruktur yang diperlukan.
“Keutamaan bekalan air kepada pengguna sedia ada akan terus dipelihara,” jelas beliau.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 berjumlah RM 5.33 bilion yang diperuntukkan kepada PETRA dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas oleh 32 Ahli Parlimen.
-- BERNAMA