Malaysia Muncul Antara Ekonomi Berprestasi Terbaik Di ASEAN Dengan KDNK Suku Ketiga Tumbuh 5.5 Peratus
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan, dengan kadar tahun ke tahun disemak naik kepada 5.5 peratus daripada 5.2 peratus, sekali gus meletakkan negara ini dalam kalangan negara berprestasi terbaik di ASEAN.
HSBC Global Investment Research dalam nota penyelidikannya hari ini memaklumkan angka akhir KDNK bagi suku ketiga juga tidak terkecuali, dengan ekonomi berkembang 1.5 peratus suku ke suku berdasarkan pelarasan bermusim. Ini menjadikan pertumbuhan tahun ke tahun mencecah 5.5 peratus, iaitu 0.3 mata peratusan lebih tinggi berbanding anggaran awal pada 5.2 peratus.
Menurut HSBC, terdapat tiga faktor utama yang perlu diberi perhatian. Pertama, prestasi perdagangan yang lebih baik menjadi faktor yang mendorong semakan menaik yang kecil itu.
Dari segi pengeluaran, pertumbuhan sektor perkhidmatan disemak naik daripada 5.4 peratus tahun ke tahun kepada 5.8 peratus, terutamanya disebabkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit.
Sama seperti Singapura, sektor perkhidmatan borong Malaysia juga mempunyai hubungan rapat dengan kitaran perdagangan. Hal ini turut dicerminkan oleh semakan naik sebanyak 0.2 mata peratusan dalam sektor pembuatan, susulan prestasi kukuh pengeluaran perindustrian (IP) yang dicatatkan pada September.
Faktor kedua, penelitian lebih mendalam terhadap komponen perbelanjaan memberikan gambaran yang menarik. Walaupun pertumbuhan penggunaan swasta menjadi sederhana, keadaan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kesan asas.
Terdapat pemberian bantuan tunai yang lebih besar pada suku ketiga 2025, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pakej bagi meringankan kos sara hidup, termasuk pemberian tunai RM100 kepada semua warganegara dewasa dari 31 Ogos hingga 31 Disember.
Tetapi secara relatifnya, pengguna di Malaysia lebih terlindung daripada kejutan harga tenaga, hasil kesan inflasi yang lebih rendah dan subsidi yang besar yang mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter. Belanjawan 2027 yang diumumkan baru-baru ini turut memberi keyakinan kepada pengguna bahawa perlindungan yang sama akan diteruskan pada tahun depan.
Ketiga, aktiviti pelaburan yang pulih semula terus berlaku, namun perinciannya wajar diberi perhatian. Berdasarkan purata empat suku tahun, pelaburan awam terus sederhana, manakala pelaburan swasta mencatatkan peningkatan. Menurut HSBC, keadaan itu tidaklah begitu mengejutkan memandangkan banyak projek infrastruktur mega semakin menghampiri fasa operasi.
Sebagai contoh, projek utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijadualkan mula beroperasi pada 12 Disember, manakala Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura dijangka mula beroperasi menjelang Februari 2027. Pelaburan dalam komponen struktur bangunan bukan kediaman menjadi pemacu kepada peningkatan bagi projek yang kedua itu.
“Kami mengandaikan perkara ini berkaitan dengan ledakan pesat pembangunan pusat data,” menurut HSBC.
Sementara itu, berhubung kesan ekonomi terhadap sekatan terbaharu Amerika Syarikat (AS) mengenai eksport cip ke pusat data di Brazil dan empat negara ASEAN, iaitu Singapura, Malaysia, Indonesia dan Thailand, HSBC memaklumkan bahawa meskipun terdapat kecenderungan untuk terpengaruh dengan sentimen pasaran, masih terlalu awal dalam membuat sebarang kesimpulan ketika ini.
“Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada 18-19 Nov, 2026 di Shenzhen akan menjadi tumpuan penting untuk menilai pendirian kedua-dua kuasa ekonomi iaitu AS dan China,” tambahnya.
Sebelum itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) mengulas bahawa masih terlalu awal untuk menilai kesan sekatan cip oleh AS dan HSBC bersetuju dengan pandangan itu serta menjangkakan permintaan terhadap pusat data di Malaysia kekal kukuh sehingga 2028.
Sementara itu, HSBC berpendapat pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh daripada jangkaan pada hari ini mengukuhkan keyakinannya bahawa BNM masih membuka ruang untuk menormalkan dasar monetari.
“Kami menjangkakan BNM menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas pada suku pertama 2027, sekali gus menyebabkan kadar dasar kembali kepada 3.0 peratus,” tambahnya.
-- BERNAMA