Indonesia Naikkan Kadar Faedah Penanda Aras Kepada Enam Peratus Bagi Stabilkan Rupiah
Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 18 Nov (Bernama) -- Bank pusat Indonesia menaikkan kadar faedah penanda aras sebanyak 25 mata asas kepada 6.0 peratus sebagai langkah awal menstabilkan rupiah yang semakin lemah serta mengawal inflasi di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat.
Pengarah Eksekutif Jabatan Komunikasi Bank Indonesia (BI) Ramdan Denny Prakoso berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat selama dua hari Lembaga Gabenor bank pusat berkenaan yang berakhir pada Rabu.
Mesyuarat itu turut menyaksikan kadar kemudahan deposit dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 5.25 peratus manakala kadar kemudahan pinjaman turut dinaikkan pada kadar yang sama kepada 6.75 peratus.
“Kenaikan berkenaan merupakan langkah untuk terus memperkukuh penstabilan kadar pertukaran rupiah terhadap kesan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
“Ia juga merupakan langkah awal bagi memastikan inflasi pada 2026 dan 2027 kekal dalam julat sasaran 2.5 peratus, tambah atau tolak satu mata peratusan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kenaikan terbaharu itu menandakan peningkatan kadar faedah penanda aras pertama BI sejak 18 Jun lepas apabila bank pusat tersebut menaikkannya kepada 5.75 peratus, paras yang dikekalkan selama empat bulan berikutnya sehingga Oktober.
Ramdan memaklumkan rupiah berada pada paras Rp18,245 berbanding dolar Amerika Syarikat pada Selasa, susut 0.66 peratus daripada paras penutup akhir Oktober berikutan ketidaktentuan global yang berterusan serta sentimen pelabur asing yang lemah dalam pasaran saham domestik.
Beliau berkata bank pusat akan terus mengarahkan dasar monetari ke arah memperkukuh kestabilan kadar pertukaran rupiah selain mengekalkan langkah kehematan makro yang akomodatif bagi menyokong pemberian pinjaman kepada sektor sebenar dan memelihara kestabilan sistem kewangan.
Jelasnya BI juga akan mengoptimumkan intervensi pasaran pertukaran asing menerusi urus niaga kontrak hadapan tanpa serahan fizikal (NDF) luar pesisir serta urus niaga semerta dan NDF domestik dalam pasaran tempatan, selain langkah memperkukuh mudah tunai perbankan.
“Bagi tempoh akan datang, BI mengunjurkan kadar pertukaran rupiah kekal stabil, disokong oleh komitmen bank pusat itu, kadar pulangan yang menarik, inflasi yang terkawal dalam julat sasaran serta prospek ekonomi domestik yang menggalakkan,” katanya.
Beliau menyatakan BI mengunjurkan ekonomi Indonesia berkembang antara 4.9 hingga 5.7 peratus pada 2026 manakala inflasi tahunan menyederhana kepada 3.23 peratus pada Oktober berbanding 3.28 peratus pada September, kekal dalam julat sasaran bank pusat itu.
Bagi menyokong pembiayaan, menurut beliau, BI sedang membuat persiapan untuk memperkenalkan insentif mudah tunai kehematan makro sehingga tiga peratus daripada dana pihak ketiga (DPK) bank mulai 1 Disember.
Ia menyasarkan pemberian pinjaman kepada perniagaan yang menyokong pewujudan peluang pekerjaan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau menambah, bank pusat itu juga merancang untuk memperkenalkan urus niaga belian balik rentas mata wang menjelang Mac 2027 yang membolehkan bank memperoleh mudah tunai dalam rupiah dengan menggunakan sekuriti dan sukuk terbitan BI yang didenominasikan dalam mata wang asing sebagai cagaran.
-- BERNAMA