BERITA TERKINI   Kerajaan ambil pendekatan tadbir urus berfokus pastikan rakyat dilindungi seiring perubahan industri, pekerjaan susulan perkembangan AI - Fahmi  | Tiada sebarang ancaman siber signifikan jejaskan data rakyat atau infrastruktur negara dikesan setakat ini - Fahmi | Malaysia berjaya mencatat antara prestasi ekonomi terbaik di rantau ini kendatipun dunia digasak pelbagai pancaroba - PM Anwar | Tindakan kerajaan menangani krisis Asia Barat dan reformasi Ekonomi MADANI memperkukuh daya tahan ekonomi negara - PM Anwar | Langkah proaktif Kerajaan MADANI bantu Malaysia kekalkan pertumbuhan KDNK yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luaran - PM Anwar | 

Peralihan Tenaga Perlu Lebih Daripada Sekadar Pengembangan Tenaga Boleh Baharu -- TNB

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Peralihan tenaga Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar mengembangkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB), kesediaan grid, pelaburan infrastruktur dan kerjasama serantau, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Ir. Ts. Shamsul Ahmad.

Menurutnya, ia amat penting bagi menterjemahkan aspirasi itu kepada kemajuan yang nyata.

Beliau memaklumkan rangkaian elektrik yang boleh dipercayai dan berdaya tahan disokong oleh penyimpanan tenaga, pendigitalan serta kerjasama lebih erat dalam sektor tenaga, amat penting bagi merealisasikan peralihan tenaga negara.

Ad Banner
Ad Banner

Menurut hantaran TNB di media sosial, Shamsul menyampaikan pembentangan pembukaan dan menyertai perbincangan panel peringkat tinggi bertajuk “Merealisasikan Peralihan Tenaga Malaysia: Memperluas Tenaga Bersih, Memperkukuh Fleksibiliti Grid dan Memacu Kesalinghubungan Serantau”.

Pembentangan itu dilakukan di Pavilion Malaysia sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-31 (COP31).

Sesi itu dianjurkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta turut dihadiri Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Sesi berkenaan turut menghimpunkan wakil kanan kerajaan, pemimpin industri dan pihak berkepentingan utama termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA Malaysia), Datuk Hamzah Hussin serta wakil daripada Gentari, UEM Lestra dan Sarawak Energy.

Perbincangan itu memberi tumpuan kepada usaha mempercepat pembangunan TBB, memperkukuh kesiapsiagaan dan fleksibiliti grid, menggerakkan pelaburan mampan serta memajukan kesalinghubungan elektrik serantau menerusi Grid Tenaga ASEAN (APG).

APG merupakan inisiatif ASEAN untuk menghubungkan rangkaian elektrik negara-negara anggota sekali gus membolehkan perdagangan elektrik rentas sempadan serta memperkukuh keterjaminan tenaga serantau, daya tahan sistem dan integrasi TBB.

Shamsul berkata ukuran sebenar peralihan tenaga bukanlah pada aspirasi yang diumumkan tetapi pada kemajuan yang berjaya dicapai.

Menurut beliau, menerusi kerjasama berterusan dengan kerajaan, industri dan pihak berkepentingan serantau, TNB kekal komited untuk menterjemahkan aspirasi peralihan tenaga Malaysia kepada penyelesaian praktikal yang menyokong masa depan tenaga lebih bersih, berdaya tahan dan mampan.

-- BERNAMA