Kajian Semula Cukai Kenderaan Kargo, Subsidi Logistik Diteliti Untuk Sokong Inisiatif Road To Rail
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kajian semula cukai terhadap pembelian kenderaan kargo jalan raya dan tahap pemberian subsidi kepada sektor logistik jalan raya adalah antara alternatif yang akan diteliti bagi menggalakkan peralihan pengangkutan kargo daripada jalan raya kepada rel menerusi inisiatif Road to Rail.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata kajian menyeluruh diperlukan bagi menentukan langkah terbaik untuk menggalakkan inisiatif itu, termasuk sama ada insentif cukai menjadi faktor penentu kepada peralihan kepada rel.
“Kerajaan akan terus menyokong inisiatif Road to Rail melalui penyelarasan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan agensi berkaitan.
“Kementerian Kewangan (MoF) mengambil maklum cadangan yang dikemukakan dan berpandangan cadangan potongan cukai tambahan ini perlu diteliti secara lebih menyeluruh,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) yang mencadangkan kerajaan memperkenalkan potongan cukai pendapatan berganda bagi pengusaha logistik jalan raya yang mengalihkan kargo kepada rel.
Liew berkata kos pengangkutan rel pada masa ini layak diberikan potongan sebagai perbelanjaan perniagaan di bawah Subseksyen 33(1) Akta Cukai Pendapatan 1967, sama seperti kos pengangkutan jalan raya.
Sehubungan itu, beliau berkata pengusaha yang beralih kepada rel tidak dibebankan dari segi cukai.
Menjawab soalan tambahan mengenai insentif lain bagi menggalakkan peralihan kepada pengangkutan rel, Liew berkata pelaksanaan inisiatif Road to Rail memerlukan kerangka yang lebih jelas dan menyeluruh melibatkan MoF dan MOT.
“Kalau kita hanya bergantung kepada pendekatan percukaian dan tanpa kerangka yang menyeluruh, kita tidak semestinya mendapat hasil yang kita inginkan,” katanya.
Beliau berkata kerangka itu perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk pelepasan karbon, subsidi, pengurangan penggunaan jalan raya serta kemalangan jalan raya.
Menurut Liew semua faktor berkenaan perlu dimasukkan dalam satu kerangka menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan bagi menghasilkan kerangka insentif yang tidak hanya tertumpu kepada aspek percukaian.
-- BERNAMA