BERITA TERKINI   Malaysia berjaya mencatat antara prestasi ekonomi terbaik di rantau ini kendatipun dunia digasak pelbagai pancaroba - PM Anwar | Tindakan kerajaan menangani krisis Asia Barat dan reformasi Ekonomi MADANI memperkukuh daya tahan ekonomi negara - PM Anwar | Langkah proaktif Kerajaan MADANI bantu Malaysia kekalkan pertumbuhan KDNK yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luaran - PM Anwar | Malaysia tidak terlalu bergantung pada satu sektor sahaja seperti AI berikutan struktur ekonominya yang pelbagai – Gabenor BNM | Impak langkah kawalan cip terbaharu AS masih belum dapat dipastikan - Gabenor BNM | 

Ekonomi Malaysia Kekal Berdaya Tahan, Disokong Oleh Faktor Pemacu Domestik Dan Luaran

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan, disokong oleh permintaan domestik, pelaburan dan eksport bersih, meskipun berdepan ketidaktentuan global yang berterusan, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Beliau berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 mencerminkan kekuatan pemacu pertumbuhan domestik dan luaran, walaupun berlaku gangguan terhadap bekalan minyak mentah global susulan perang yang berterusan di Iran serta dasar perdagangan perlindungan yang dilaksanakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Ad Banner
Ad Banner

“Pendapat kami ialah ekonomi Malaysia telah menunjukkan prestasi yang baik, dengan permintaan domestik khususnya pelaburan, serta eksport bersih terus menyumbang kepada pertumbuhan KDNK secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata tekanan inflasi pula kekal terkawal, dengan inflasi keseluruhan stabil pada 1.9 peratus selama dua suku tahun berturut-turut, manakala inflasi teras menyederhana kepada 1.7 peratus daripada 1.9 peratus sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pertumbuhan dalam perbelanjaan pengguna terus sederhana, susut kepada 4.3 peratus daripada 4.8 peratus pada suku sebelumnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kami percaya kos sara hidup yang lebih tinggi mungkin menyebabkan isi rumah lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka,” jelasnya.

Meskipun penggunaan isi rumah sederhana, Mohd Afzanizam berkata prestasi ekonomi Malaysia kekal memberangsangkan, dengan KDNK berkembang 5.6 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, meningkat daripada 4.8 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata petunjuk ekonomi terkini menunjukkan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada 2026 dan 2027, dengan risiko terhadap prospek ekonomi secara umumnya kekal seimbang.

Berdasarkan perkembangan ini, Mohd Afzanizam menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin menormalkan dasar monetarinya dengan menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada suku pertama 2027.

“Sehubungan itu, kami berpendapat OPR boleh dinormalkan dengan kenaikan 25 mata asas pada suku pertama 2027, dengan mengambil kira statistik ekonomi terkini dan prospek masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, BNM mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 berbanding 5.3 peratus pada suku yang sama 2025, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang berterusan, aktiviti pelaburan yang lebih tinggi dan eksport yang lebih kukuh.

-- BERNAMA