BNM Akan Teliti Data Ekonomi, Inflasi Sebelum Putuskan OPR Bagi 2027 – Gabenor
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus meneliti data ekonomi dan inflasi sebelum menentukan sama ada untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2027, kata Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan menilai data yang diterima bagi memastikan dasar monetari sejajar dengan prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi.
“Kami akan meneliti data yang diterima untuk menilai perkembangan berkaitan kestabilan harga. Ini merangkumi setakat mana kenaikan harga dan sejauh mana ia meliputi pelbagai produk yang berbeza.
“Kami juga akan meneliti sama ada kenaikan harga itu berterusan. Adakah harga meningkat bulan demi bulan, atau adakah kenaikan tersebut hanya berlaku sekali atau dua kali sahaja?” katanya pada sidang media bagi mengumumkan angka keluaran dalam negara kasar suku ketiga 2026, di sini, hari ini.
Semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terakhir bagi tahun ini pada 5 November lepas BNM memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 2.75 peratus
Sehubungan itu para penganalisis menjangkakan kemungkinan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku pertama 2027, memandangkan pertumbuhan kukuh ekonomi serta keutamaan BNM untuk mengawal inflasi.
-- BERNAMA