Asia Pasifik Perlu Terus Perkukuh Kerjasama Elak Persaingan Antara Blok Serantau - PM Anwar
Daripada Kisho Kumari Sucedaram
SHENZHEN, 18 Nov (Bernama) -- Asia Pasifik perlu terus mengukuhkan kerjasama merentas perbezaan geopolitik ketika tekanan persaingan antara blok serantau menjadi semakin ketara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata rantau Asia Pasifik telah membuktikan melalui pengalaman selama berdekad-dekad bahawa negara-negara boleh mengejar kepentingan masing-masing namun dalam masa yang sama menyumbang kepada usaha serantau yang lebih luas.
"Kita harus mempunyai keyakinan dan tekad untuk memelihara tradisi tersebut, terutamanya apabila tekanan persaingan antara blok serantau menjadi semakin ketara," kata beliau semasa berucap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif APEC 2026, di sini, hari ini.
Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata kredibiliti Wawasan Putrajaya 2040 yang diterima pakai semasa tempoh kepengerusian Malaysia akan dinilai berdasarkan kesediaan ekonomi anggota untuk menterjemahkan aspirasi tersebut kepada hasil yang lebih nyata.
Beliau berkata wawasan tersebut merangkumi aspirasi ke arah komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan, dan aman.
“Ini bermakna membina rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, sambil memastikan pasaran kekal terbuka selain meluaskan akses kepada teknologi canggih, membina keupayaan insan, serta memastikan ekonomi sedang membangun mampu menjadi inovator dan pengeluar dengan keupayaan mereka sendiri.
“Ini juga bermakna beralih kepada penggunaan tenaga yang lebih bersih dengan mengambil kira keadaan negara yang berbeza-beza, serta menyediakan peluang bagi mencapai pertumbuhan dan pembangunan perindustrian,” kata beliau.
Bagi Malaysia, kata beliau, keyakinan ini dizahirkan melalui dasar negara yang terus mengamalkan pendekatan berkecuali.
“Ini merupakan pertimbangan yang bersandarkan kepada keyakinan bahawa setiap negara tanpa mengira saiz atau kepentingan ekonominya mempunyai hak untuk menentukan halu tuju mereka sendiri serta menyumbang kepada pembentukan aturan global.
“Kami membina hubungan konstruktif dengan semua rakan negara, berpandukan kepada prinsip kami, kepentingan nasional kami, serta komitmen teguh kami terhadap keamanan dan kerjasama,” kata beliau.
Bagi komuniti perniagaan pula, Anwar berkata, segmen itu memainkan peranan yang amat penting dalam mencorakkan masa depan rantau Asia-Pasifik.
“Pelaburan yang anda laksanakan, teknologi yang anda bangunkan, serta perkongsian yang anda jalin akan membantu menentukan landskap ekonomi rantau kita untuk dekad-dekad yang akan datang.
“Bersama pengaruh ini, wujud tanggungjawab untuk memastikan peluang yang terhasil daripada transformasi ekonomi bukan hanya sekadar untuk membina kekayaan dan memajukan teknologi,” kata beliau.
Anwar berkata Putrajaya mengalu-alukan pelaburan dan perkongsian yang dapat memperkukuh industri domestik, mengembangkan perusahaan tempatan, membangunkan modal insan, serta menyediakan peluang kepada ekonomi sedang pesat membangun menyertai aktiviti yang mempunyai nilai lebih tinggi.
Beliau percaya kejayaan komersial dan aspirasi masyarakat perlu bergerak seiringan manakala penanda aras sebenar kemajuan ekonomi terletak pada peluang yang dicipta serta bagaimana ia membawa manfaat kepada rakyat.
“Ketika kita mengorak langkah kehadapan, kita perlu menyedari bahawa masa depan rantau Asia Pasifik terletak sepenuhnya di tangan kita sendiri. Keputusan yang kita ambil pada hari ini, baik secara individu mahupun kolektif, akan menentukan sama ada rantau kita terus menjadi sumber kedinamikan, kestabilan, dan peluang dalam dunia yang semakin tidak menentu ini,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata visi Malaysia adalah untuk melihat negara-negara Asia Pasifik dapat mengekalkan kebebasan dalam menentukan hala tuju masa depan mereka sendiri dengan kecanggihan teknologi menyumbang kepada kemajuan umat manusia dan manfaat integrasi ekonomi dapat dikongsi secara lebih saksama dalam kalangan rakyat.
“Ia adalah wawasan yang berlandaskan keyakinan bahawa setiap negara berhak hidup dengan aman dan makmur tanpa mengira saiz, kekayaan, atau pengaruh politiknya,” kata beliau.
Anwar berkata merealisasikan visi ini memerlukan keberanian politik, saling mempercayai dan komited terhadap prinsip yang telah membantu mengekalkan kemakmuran rantau ini.
“Ini menuntut kita untuk berpandangan jauh kehadapan dan menyedari tanggungjawab kita bersama terhadap dunia yang akan kita akan wariskan kelak.
“Justeru, marilah kita menguatkan tekad, daya imaginasi, dan kebijaksanaan kita untuk membentuk rantau Asia Pasifik yang bakal diwarisi dengan rasa bangga oleh generasi akan datang,” kata beliau.
-- BERNAMA