Sekatan Eksport Cip AS: Masih Awal Untuk Nilai Kesan Kepada Malaysia Seiring Perkembangan Semasa - Gabenor BNM
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Impak sekatan terbaru Amerika Syarikat (AS) terhadap eksport cip ke pusat data di luar negara masih terlalu awal untuk dinilai memandangkan perkembangan berkaitan perkara itu masih berterusan, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata BNM senada dengan pendirian Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bahawa Malaysia akan terus mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa berkaitan mengenai perkara itu.
“Ini merupakan satu contoh risiko geoekonomi yang benar-benar nyata dan sedang berlaku, bukan sahaja kepada kita, malah kepada seluruh dunia.
“Bagi Malaysia, seperti yang turut dinyatakan oleh MITI, kita akan terus mempertahankan perdagangan berasaskan peraturan, kekal terbuka kepada perniagaan dan meneruskan strategi kepelbagaian kita,” katanya semasa pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga 2026 hari ini.
Pada Isnin, pentadbiran Presiden AS Donald Trump mengeluarkan peraturan yang mengenakan sekatan baharu terhadap eksport cip ke pusat data di luar negara yang membolehkan syarikat China mendapatkan akses kepada cip kecerdasan buatan (AI) termaju untuk melatih model AI mereka.
Laporan itu turut menyatakan bahawa syarikat di Singapura, Thailand, Malaysia, Indonesia dan Brazil perlu mendapatkan lesen eksport AS bagi cip termaju sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghalang pengubahan cip tersebut secara haram.
Abdul Rasheed turut menegaskan bahawa kepelbagaian kekal sebagai strategi utama yang memandu pembangunan Malaysia merentasi pelbagai sektor, termasuk pusat data.
Beliau berkata daripada 120 syarikat pusat data yang beroperasi di Malaysia, hanya 17 atau kira-kira 13 peratus dimiliki oleh syarikat China manakala selebihnya berasal dari AS, Australia, Kanada dan Malaysia.
“Di sinilah pelaburan kita (dalam pusat data) mempunyai kepelbagaian yang tinggi. Oleh itu, sekatan (AS) itu dijangka tidak memberikan kesan yang ketara terhadap pelaburan dalam sektor pusat data.
“Berdasarkan anggaran kami terhadap projek yang sedang dilaksanakan dan dirancang, momentum pelaburan dalam pusat data dijangka kekal kukuh sekurang-kurangnya sehingga 2028,” katanya sambil memaklumkan permintaan asas yang berterusan terhadap pusat data turut mewujudkan hubungan ekonomi jangka panjang untuk Malaysia.
Menurut Abdul Rasheed, asas-asas yang positif itu turut selari dengan pelaburan dalam sektor maklumat, komunikasi dan teknologi yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), yang meningkat kepada kira-kira RM38.9 bilion pada suku pertama tahun ini.
Impak pilihan raya pertengahan penggal AS
Mengulas keputusan pilihan raya pertengahan penggal AS, yang mungkin menyaksikan Parti Demokrat menguasai Kongres pada Januari dan meningkatkan penelitian terhadap dasar tarif, pusat data dan AI pentadbiran Trump, beliau berkata masih terlalu awal untuk menilai kemungkinan implikasinya terhadap ekonomi Malaysia memandangkan situasi itu masih berterusan.
Beliau berkata pengukuhan asas dan kedudukan ekonomi negara akan membantu melindungi Malaysia daripada perkembangan serta ketidaktentuan global.
“Bagi pihak kita, kita akan terus memantau situasi itu dengan teliti dan menilai kemungkinan kesannya terhadap ekonomi dan pasaran kewangan serta langkah yang boleh kita laksanakan.
“Selain itu, penampan ekonomi memainkan peranan penting. Itulah sebabnya saya sentiasa menekankan kepentingan membina penampan ketika keadaan ekonomi baik, apabila kita berada dalam kedudukan yang kukuh, supaya kita dapat memanfaatkannya semasa menghadapi tempoh sukar atau sekiranya berlaku perkembangan yang tidak dijangka,” katanya.
-- BERNAMA