Jotun Sasar Jualan Berganda Berikutan Pelaburan RM500 Juta Dalam Ibu Pejabat, R&D Baharu
SHAH ALAM, 18 Nov (Bernama) -- Jotun menyasarkan pertumbuhan jualan jangka panjang sebanyak dua digit selepas melabur kira-kira RM500 juta untuk menubuhkan Ibu Pejabat Serantau Asia Tenggara serta Pusat Penyelidikan dan Pembangunan yang baharu di Glenmarie.
Naib Presiden Jotun Asia Tenggara & Pasifik, Jon Bigseth berkata susulan perayaan 100 tahun Jotun dalam merealisasikan visinya, pusat baharu itu menandakan satu langkah penting dalam langkah dan keyakinan mereka di Asia Tenggara serta Pasifik untuk melabur dalam masa depannya.
"Kami mempunyai cita-cita yang sangat jelas bahawa kami mahu membuat pengembangan dua angka dan memperoleh bahagian pasaran dalam semua pasaran kami di Asia Tenggara serta Pasifik," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ibu Pejabat dan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Serantau Asia Tenggara baharunya di sini hari ini.
Kemudahan itu merupakan pangkalan serantau untuk matlamat jangka panjang Jotun di Asia Tenggara, yang menyaksikan penggabungan ibu pejabat serantau dengan pusat R&D di satu lokasi.
Ia akan menyokong perniagaan Jotun di Malaysia dan di lapan pasaran lain, terutamanya di Vietnam, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja, Myanmar, Singapura termasuk Australia.
Sementara itu Pengarah R&D Serantau Asia Tenggara dan Pasifiknya, Hans Kristian Austad melihat wujudnya potensi pertumbuhan merentas empat segmen perniagaannya iaitu cat hiasan, salutan marin, salutan pelindung dan salutan serbuk.
Pusat R&D itu mempunyai satu makmal dan instrumen analisis termaju. Ini merangkumi "Fourier Transform Infrared Spectrometer" (FTIR), "Differential Scanning Calorimeter (DSC)" , reometer dan spektrofotometer.
“Kami boleh meneroka lebih banyak idea, membangun dan menambah baik produk, selain mencipta penyelesaian yang disesuaikan dengan pelbagai keperluan di Asia Tenggara dan Pasifik,” tambahnya.
Jotun merupakan syarikat cat serta salutan multinasional, ia telah berada di Asia Tenggara sejak 1968 dan mempunyai kilang di Malaysia sejak 1985.
-- BERNAMA