BERITA TERKINI   Malaysia berjaya mencatat antara prestasi ekonomi terbaik di rantau ini kendatipun dunia digasak pelbagai pancaroba - PM Anwar | Tindakan kerajaan menangani krisis Asia Barat dan reformasi Ekonomi MADANI memperkukuh daya tahan ekonomi negara - PM Anwar | Langkah proaktif Kerajaan MADANI bantu Malaysia kekalkan pertumbuhan KDNK yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan luaran - PM Anwar | Malaysia tidak terlalu bergantung pada satu sektor sahaja seperti AI berikutan struktur ekonominya yang pelbagai – Gabenor BNM | Impak langkah kawalan cip terbaharu AS masih belum dapat dipastikan - Gabenor BNM | 

MediAsas Lengkapi Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia, Tidak Ambil Alih Peranan Hospital Kerajaan - BNM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Inisiatif Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) yang dikenali sebagai MediAsas direka bentuk untuk menjadi pelengkap kepada sistem penjagaan kesihatan sedia ada di Malaysia, dan bukannya mengambil alih peranan hospital kerajaan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Timbalan Gabenor BNM Aznan Abdul Aziz berkata MediAsas perlu dilihat sebagai sebahagian daripada sistem penjagaan kesihatan yang lebih menyeluruh, merangkumi perkhidmatan penjagaan kesihatan awam yang disediakan kerajaan, hospital swasta dan produk insurans yang ditawarkan secara komersial.

“MediAsas bertujuan melengkapkan sistem sedia ada. Oleh itu, pada masa ini kita mempunyai insurans swasta, sistem penjagaan kesihatan awam dan kini satu lagi pilihan yang mampu milik serta mudah diakses.

Ad Banner
Ad Banner

“MediAsas dirangka supaya lebih mampu milik dan mampan dalam jangka panjang. Oleh itu, ia bukan bertujuan menggantikan hospital kerajaan sedia ada,” katanya pada sidang media Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai bilangan peserta yang kecil dalam program rintis MediAsas, dan sama ada jumlah itu mencukupi untuk menilai keberkesanan inisiatif berkenaan.

Menurutnya program rintis itu bertujuan khususnya untuk menguji kesediaan operasi MediAsas, dan bukannya bagi menilai prestasinya semata-mata berdasarkan jumlah peserta.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Tujuan program rintis ini adalah untuk membolehkan kita menguji pelaksanaan operasi MediAsas, dan bukan semata-mata berkaitan jumlah peserta,” katanya.

Aznan berkata jumlah permohonan dan polisi dikeluarkan yang agak kecil itu sudah memadai untuk menilai proses operasi sistem berkenaan serta mengenal pasti kemungkinan isu sebelum pelaksanaannya diperluas.

Menurutnya program rintis itu setakat ini menerima sambutan yang menggalakkan, dengan banyak pertanyaan dikemukakan kepada syarikat insurans yang menyertai program berkenaan selain penerimaan permohonan dan pengeluaran polisi.

Beliau berkata enam syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) serta 10 hospital mengambil bahagian secara aktif dalam program rintis itu manakala hampir semua ITO dijangka menyertai program berkenaan dan kebanyakan hospital juga dijangka turut serta apabila ia dilancarkan pada Januari 2027.

-- BERNAMA