Xiaomi Lancar Siri 18 Pro Dengan Pengalaman Premium Era AI
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Xiaomi hari ini telah melancarkan barisan telefon pintar perdana terbaharunya, Siri Xiaomi 18 Pro, menampilkan Xiaomi 18 Pro dan Xiaomi 18 Pro Max di Malaysia.
Dalam satu kenyataan, ia berkata siri ini membawa bentuk interaksi terkini kepada segmen premium, dilengkapi dengan Sistem Kamera Leica Dual-200-megapiksel (MP), Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 dan Snapdragon 8 Elite Gen 6 Mobile Platform serta Paparan Peribadi Xiaomi dengan Xiaomi HyperRGB 2.0.
Siri ini menawarkan tahap kecerdasan yang lebih mendalam yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI), membuka kemungkinan baharu dalam pengalaman pengguna.
Untuk siri ini, Siri Xiaomi 18 Pro menampilkan paparan belakang yang inovatif yang meningkatkan pengalaman kamera, produktiviti dan kreativiti sambil menawarkan lebih banyak kemudahan dalam penggunaan harian.
“Paparan belakang juga berfungsi sebagai pemidang tilik belakang untuk swafoto, foto kumpulan dan vlog sambil menyediakan kemas kini sepintas lalu pada panggilan, peta, perkhidmatan panggilan telefon termasuk pemberitahuan lain.
“Ia juga membolehkan pengguna menyemat teks dan imej, seperti pas masuk dan kod QR, untuk rujukan pantas, sambil menawarkan kertas dinding dinamik yang boleh disesuaikan dengan ekspresi peribadi,” katanya.
“Xiaomi 18 Pro Max boleh didapati dalam warna merah baldu, biru kosmik, putih dan hitam, dengan varian 12 gigabait (GB)+512GB berharga RM6,499 (harga promosi: RM5,999) dan varian 12GB+256GB pada RM5,999 (harga promosi: RM5,499).
Syarikat itu berkata, Siri Xiaomi 18 Pro boleh didapati dalam dua saiz, dengan Xiaomi 18 Pro menampilkan paparan kompak 6.4 inci dan lebar 72 milimeter (mm) untuk kegunaan sebelah tangan yang selesa, manakala Xiaomi 18 Pro Max hadir dengan paparan 6.9 inci yang lebih besar, menawarkan lebih banyak ruang skrin bagi video, permainan dan pelbagai tugas lain.
Pelanggan yang membuat pra-pesanan Xiaomi 18 Pro dari 18 hingga 26 Nov akan menerima Xiaomi Watch S5 46mm bernilai RM799 secara percuma, sementara stok masih ada, dan menikmati diskaun sehingga RM500.
Tawaran itu termasuk penggantian satu kali percuma untuk skrin utama, bateri, penutup belakang, skrin belakang atau lensa kamera termasuk pelbagai faedah digital, ianya boleh didapati di kedai Xiaomi di seluruh negara, mi.com dan kedai rasminya di Shopee, Lazada serta TikTok Shop.
Xiaomi berkata pembeli yang layak bagi Siri 18 Pro Xiaomi juga akan menikmati percubaan percuma Google AI Pro dan YouTube Premium selama tiga bulan, selain percubaan 14 hari bagi iQIYI Standard VIP, yang menawarkan akses kepada ciri-ciri AI, storan awan lima terabit, tontonan video tanpa iklan dan penstriman HD.
-- BERNAMA