BERITA TERKINI   Projek tenaga boleh baharu yang dirancang menerusi program LSS dan CRESS dijangka menambah sekitar 10,000 hingga 11,000 MW kapasiti menjelang 2030 -- PETRA | PETRA, Suruhanjaya Tenaga teliti cadangan pelarasan bahan api automatik berperingkat bagi 2027, pastikan agihan kos bahan api lebih saksama | Penggunaan air bagi pusat data di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan diunjur mencecah 445.04 juta liter sehari menjelang 2030 --PETRA | Margin rizab elektrik bagi tempoh 2027 hingga 2035 diunjurkan pada paras 24 hingga 27 peratus berdasarkan mesyuarat JPPPET pada 11 November lepas -- PETRA. | Kerajaan ambil pendekatan tadbir urus berfokus pastikan rakyat dilindungi seiring perubahan industri, pekerjaan susulan perkembangan AI - Fahmi  | 

PM Anwar Adakan Pertemuan Dengan Fastprint Dan Fastrain, Bincang Peluang Pelaburan Industri Teknologi

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

SHENZHEN (China), 18 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan berasingan dengan pimpinan Fastprint dan Fastrain di sini hari ini bagi membincangkan perkembangan serta cadangan pelaburan kedua-dua syarikat itu di Malaysia.

Pertemuan itu berlangsung di luar acara rasmi Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2026 pada minggu ini.

Ad Banner
Ad Banner

Perbincangan Perdana Menteri bersama kedua-dua syarikat itu tertumpu kepada industri semikonduktor dan elektronik termaju, komunikasi optik serta teknologi bateri dan penyimpanan tenaga.

Bidang-bidang ini membuka ruang untuk Malaysia meningkatkan keupayaan pembuatan dan kejuruteraan di samping menyokong perkembangan ekonomi digital serta peralihan tenaga negara.

Anwar menekankan kepentingan pelaburan tersebut yang membawa manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pemindahan teknologi dan penyertaan lebih luas syarikat tempatan dalam rantaian bekalan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Kerjasama dengan universiti dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga perlu diperkukuh bagi menyediakan anak-anak Malaysia dengan kepakaran yang diperlukan industri,” kata beliau.

Beliau berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan meneruskan tindakan susulan bersama syarikat serta agensi berkaitan bagi membantu kelancaran pelaksanaan projek dan memastikan komitmen pelaburan diterjemahkan kepada pembangunan industri serta peluang ekonomi untuk rakyat.

Naib Presiden kumpulan Fastprint Stan Zhou ketika ditemui media Malaysia berkata syarikat itu sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk melabur dalam pembinaan kilang papan litar tercetak (PCB) di Kulim High Tech Park, namun tidak mendedahkan maklumat lanjut mengenai rancangan itu.

Fastprint ialah pengeluar prototaip perkakasan dan PCB global serta pengeluar PCB dalam jumlah pengeluaran rendah yang ditubuhkan pada 1999 dan disenaraikan di Bursa Saham Shenzhen, dengan kemudahan operasi di China dan United Kingdom.

Sementara itu, Fastrain ialah syarikat elektronik dan pembuatan pintar global yang mengkhusus dalam komponen teras kebolehpercayaan tinggi untuk infrastruktur kecerdasan buatan, modul optik berkelajuan tinggi, kabel tembaga, elektronik automotif dan peranti komunikasi marin.

-- BERNAMA