BERITA TERKINI   Projek tenaga boleh baharu yang dirancang menerusi program LSS dan CRESS dijangka menambah sekitar 10,000 hingga 11,000 MW kapasiti menjelang 2030 -- PETRA | PETRA, Suruhanjaya Tenaga teliti cadangan pelarasan bahan api automatik berperingkat bagi 2027, pastikan agihan kos bahan api lebih saksama | Penggunaan air bagi pusat data di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan diunjur mencecah 445.04 juta liter sehari menjelang 2030 --PETRA | Margin rizab elektrik bagi tempoh 2027 hingga 2035 diunjurkan pada paras 24 hingga 27 peratus berdasarkan mesyuarat JPPPET pada 11 November lepas -- PETRA. | Kerajaan ambil pendekatan tadbir urus berfokus pastikan rakyat dilindungi seiring perubahan industri, pekerjaan susulan perkembangan AI - Fahmi  | 

Malaysia Harap Mencatat Antara Kadar Pertumbuhan Tertinggi Dalam Kalangan Ekonomi Membangun – Anwar

Daripada Kisho Kumari Sucedaram

SHENZHEN (China), 18 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap ekonomi Malaysia dapat mencatatkan antara kadar pertumbuhan tertinggi dalam kalangan ekonomi membangun susulan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026.

Beliau berkata angka pertumbuhan terkini yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi negara yang berterusan, dengan kadar pertumbuhan berpotensi mencecah 5.6 peratus.

Ad Banner
Ad Banner

“Bank Negara baru sahaja mengumumkan pada 12 tengah hari tadi bahawa pertumbuhan kita kekal pada 5.5 peratus bagi suku ketiga. Ini bermakna kita boleh mencapai pertumbuhan sehingga 5.6 peratus,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Dialog Perdagangan dan Pelaburan Peringkat Tinggi Malaysia-China yang diadakan di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di sini hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata beliau berharap kadar pertumbuhan itu menjadi antara yang tertinggi dalam kalangan ekonomi membangun, sekali gus mencerminkan pencapaian pada tahap yang lebih tinggi.

Beliau berkata prestasi ekonomi Malaysia turut disokong oleh kerjasama erat dalam bidang perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara sahabat, dengan China memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan negara.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Perdana Menteri turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada pemimpin perniagaan dan pelabur China atas sumbangan mereka terhadap pembangunan ekonomi Malaysia.

“Kita mencatatkan pencapaian seperti ini hasil kerjasama erat serta hubungan perdagangan dan pelaburan dengan negara-negara sahabat. China sememangnya memainkan peranan penting, justeru saya ingin mengucapkan xièxie (terima kasih) kepada anda semua kerana menjayakannya,” katanya.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM541.54 bilion (US$126.81 bilion) pada 2025.

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 berbanding 5.3 peratus dalam suku yang sama pada 2025, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang berterusan, peningkatan aktiviti pelaburan serta eksport yang lebih kukuh.

BNM memaklumkan pertumbuhan eksport terus mengukuh, didorong oleh eksport berkaitan teknologi merentasi produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk bukan E&E.

Perdana Menteri tiba di Shenzhen, wilayah Guangdong, yang terletak di utara Hong Kong, dari Manila pada tengah malam tadi bagi menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ke-33.

Sering digelar Lembah Silikon China, Shenzhen menjadi lokasi beberapa syarikat teknologi terkemuka negara itu, termasuk Huawei, Tencent, BYD dan DJI, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab inovasi dan teknologi utama China.

APEC merupakan forum antara kerajaan yang menghimpunkan 21 ekonomi anggota di Lingkaran Pasifik bagi menggalakkan perdagangan bebas di rantau Asia Pasifik, yang mewakili hampir 40 peratus penduduk dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus ekonomi dunia.

Malaysia merupakan antara 12 ekonomi pengasas APEC. Anggota pengasas lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.

China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertai APEC pada 1993. Chile menyertai forum itu pada 1994, manakala Peru, Rusia dan Vietnam menyertainya pada 1998, menjadikan jumlah keanggotaan penuh sebanyak 21 ekonomi.

-- BERNAMA