Keuntungan Bersih Dutch Lady Lonjak 26.2 Peratus
KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Dutch Lady Milk Industries Bhd melonjak 26.2 peratus kepada RM40.46 juta dalam suku ketiga berakhir 30 Sept 2026 daripada RM32.05 juta sebelum ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata pendapatan meningkat 6.6 peratus kepada RM399.25 juta berbanding RM374.51 juta yang dicatatkan dalam tahun sebelumnya.
Hasil yang lebih tinggi ini telah dipacu oleh peningkatan jualan dalam rangkaian susu cair terasnya, dilancarkan semula dengan identiti pek baharu semasa suku kedua, momentum kukuh dalam saluran luar rumah yang terdiri daripada hotel, restoran, kafe dan kedai roti, selain sumbangan positif daripada inovasi, khususnya Dutch Lady Omega 3*6 serta rangkaian Dutch Lady Tealive yang baru dilancarkan.
Dalam tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih menokok kepada RM108.59 juta berbanding RM80.48 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala hasil naik kepada RM1.18 bilion daripada RM1.12 bilion.
Syarikat itu juga mengumumkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 40 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026.
Dutch Lady juga positif mengenai prospek penuh tahun 2026nya, disokong oleh kekuatan jenama dan peningkatan dalam pengiktirafan di kalangan rakyat Malaysia terhadap nilai pemakanan susu.
"Syarikat itu akan terus menyokong penternak tenusu tempatan bagi meningkatkan kuantiti dan kualiti susu segar yang dihasilkan dalam negara," tambahnya.
Pinjaman antara syarikatnya juga telah dijelaskan sepenuhnya pada suku ketiga, mencerminkan penjanaan tunai yang kukuh, perbelanjaan modal yang jauh lebih rendah dan pengurangan pergantungan kepada pinjaman, sambil mengekalkan kecairan yang mencukupi.
-- BERNAMA