Anwar Adakan Rundingan Lanjut Dengan Empat Syarikat China, Komited Perkukuh Hubungan Perniagaan
Daripada Kisho Kumari Sucedaram
SHENZHEN (China), 19 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan siri pertemuan dengan empat syarikat China di Shenzhen dalam usaha Malaysia untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan perindustrian melalui prospek pelaburan baharu dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, tenaga, serta perkhidmatan.
Anwar bertemu dengan empat syarikat terkemuka China, iaitu Shenzhen Mindray Bio-Medical Electronics, Guangzhou Tinci Materials Technology, Shenzhen Capchem Technology, dan XTC New Energy Materials (Xiamen) dengan perbincangan merangkumi teknologi perubatan, bahan bateri, serta bahan kimia khusus.
Selain itu beliau turut bertemu dengan dua syarikat Malaysia yang beroperasi di China, iaitu Yinson Holdings Bhd dan Maryland Group, bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai inisiatif korporat dalam negara.
Anwar berkata Malaysia terus menumpu untuk meraih pelaburan yang akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi, di samping memperkukuh keupayaan domestik, termasuk daya saing industri, kemajuan teknologi, dan pekerjaan berkemahiran.
“Malaysia komited sepenuhnya untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi, malah membawa manfaat bermakna kepada negara dan rakyat.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan pelaburan ini memperkasakan industri tempatan, meningkatkan daya saing syarikat Malaysia, mempercepat pemindahan teknologi, serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi,” kata beliau di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-33, di sini.
Mindray, sebuah syarikat teknologi perubatan global, sedang meneliti kemungkinan untuk membina kemudahan pembuatan peranti perubatan atau hab perkhidmatan di Malaysia, yang berpotensi melibatkan kerjasama dengan pengilang serta pembekal komponen tempatan.
Dalam sektor bahan bateri, Tinci Materials berhasrat untuk mengeluarkan elektrolit dan bahan kimia khusus bagi bateri litium-ion, manakala XTC New Energy Materials merancang untuk melabur dalam pembuatan bahan katod bateri litium-ion di Selangor.
Capchem Technology yang telahpun beroperasi di Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah turut meneliti kemungkinan untuk menubuhkan kilang kedua bagi mengembangkan kapasiti pengeluarannya serta memenuhi permintaan pasaran Asia Tenggara.
Anwar juga berkata Malaysia berhasrat untuk memastikan perniagaan tempatan mendapat manfaat daripada peluang pelaburan itu melalui penyertaan yang lebih besar dalam rantaian bekalan, pemindahan pengetahuan, serta pembangunan kepakaran teknikal.
Sementara itu Anwar turut menerima laporan terkini daripada Yinson mengenai kemajuan pembinaan feri berkuasa bateri bagi Langkawi.
Syarikat itu diwakili pengerusi eksekutif kumpulan Lim Han Weng, ketua pegawai eksekutif Lim Chern Yuan, dan diiringi ketua pegawai eksekutif HI Mobility Bhd, Lim Chern Chuen, serta para pegawai lain.
Yinson kini sedang dalam proses cadangan untuk dijadikan syarikat persendirian melibatkan pemegang saham terbesarnya, Lim, MISC Bhd, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, yang meletakkan nilai kumpulan tersebut pada RM7.11 bilion.
Konsortium tersebut menawarkan RM2.50 sesaham untuk mendapatkan baki saham yang dipegang oleh pemegang saham minoriti.
Selain itu Anwar turut bertemu dengan wakil Mayland Group, sebuah syarikat pembangunan hartanah dan hospitaliti yang diasaskan oleh Tan Sri David Chiu.
Mayland memiliki 11 hotel di Malaysia dengan kapasiti keseluruhan kira-kira 4,500 bilik, termasuk Dorsett KL Bukit Bintang, Dorsett Residences KL, Dorsett Hartamas, Dorsett Grand Subang dan Dorsett Putrajaya.
-- BERNAMA