Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Susulan Kelemahan Harga Minyak Sayuran
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Khamis, susulan tekanan daripada penurunan harga minyak sayuran di pasaran Dalian dan minyak kacang soya, menurut seorang peniaga.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata kebimbangan terhadap paras inventori Malaysia yang tinggi serta permintaan eksport yang semakin perlahan turut meningkatkan tekanan jualan.
“Kami melihat paras sokongan segera sekitar RM4,200 satu tan dan paras rintangan pada RM4,350, dengan sentimen pasaran dijangka kekal berhati-hati susulan kelemahan harga minyak sayuran pesaing,” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak Disember 2026 yang merupakan bulan semerta baharu susut RM44 kepada RM4,142 satu tan, kontrak Januari 2027 merosot RM48 kepada RM4,253 satu tan, manakala kontrak Februari 2027 turun RM53 kepada RM4,333 satu tan.
Kontrak Mac 2027 berkurangan RM59 kepada RM4,407 satu tan, kontrak April 2027 susut RM69 kepada RM4,468 satu tan, manakala kontrak Mei 2027 turun RM73 kepada RM4,509 satu tan.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 118,412 lot daripada 122,464 lot pada Rabu, manakala kepentingan terbuka susut kepada 339,587 kontrak daripada 341,407 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi November (Selatan) susut RM50 kepada RM4,140 satu tan.
-- BERNAMA