CelcomDigi Catat Keuntungan Bersih Suku Ketiga Lebih Tinggi Kepada RM408 Juta
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih CelcomDigi Bhd (CelcomDigi) meningkat kepada RM408.0 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM341.0 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Menurut penyedia perkhidmatan komunikasi dan mudah alih itu, keuntungan yang lebih tinggi itu disebabkan oleh pendapatan sebelum cukai dan faedah yang lebih tinggi, serta perbelanjaan cukai yang lebih rendah sebanyak RM10 juta, yang sebahagiannya diimbangi oleh kos kewangan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM17 juta.
Pendapatan turut meningkat sebanyak 5.8 peratus kepada RM3.30 bilion berbanding RM3.12 bilion sebelumnya.
CelcomDigi menjelaskan bahawa ini didorong terutamanya oleh inisiatif pemasaran bersasar merentasi segmen pascabayar dan gentian optik kediaman, yang menjana peningkatan jumlah pelanggan masing-masing sebanyak 2.4 peratus dan 31.4 peratus, serta menyumbang RM68 juta kepada pertumbuhan hasil keseluruhan.
“Peningkatan ini sebahagiannya diimbangi oleh hasil prabayar yang lebih rendah sebanyak RM21 juta, berikutan peralihan strategik yang disengajakan daripada pemerolehan kad SIM prabayar sekali guna dan rombakan kawal selia mengenai pendaftaran kad SIM, selain peningkatan jualan peranti sebanyak RM136 juta,” menurutnya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM1.22 bilion berbanding RM1.16 bilion sebelumnya, dengan pendapatan mencecah RM9.70 bilion daripada RM9.51 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam satu kenyataan, CelcomDigi memaklumkan bahawa ia mengakhiri suku tersebut dengan 20.2 juta pelanggan dan mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 3.4 sen sesaham, sejajar dengan komitmennya untuk memberikan dividen yang mampan kepada pemegang saham.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Albern Murty berkata kumpulan itu terus berusaha meningkatkan pendapatan perkhidmatannya menerusi pelaksanaan komersial yang berdisiplin, merentasi portfolio produk terasnya.
“Fokus kami kekal jelas, iaitu mewujudkan nilai yang lebih besar untuk pelanggan menerusi tawaran yang inovatif, selain merebut peluang pertumbuhan merentasi perniagaan dengan cara yang paling cekap,” katanya.
-- BERNAMA