BERITA TERKINI   Hubungan diplomatik baik, hasil kerja teliti Wisma Putra antara faktor Malaysia dipilih anggotai semula Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) - Fahmi | Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.9 peratus pada Oktober 2026 daripada 1.8 peratus pada September 2026 -- DOSM | Onn Hafiz zahir penghargaan kepada PM Anwar, Kerajaan Persekutuan atas peruntukan RM4.86 bilion kepada Johor menerusi RMK13 | Belanjawan Johor 2027: Penjawat awam Johor terima insentif khas dua bulan setengah gaji - Onn Hafiz | 654 projek Reformasi Kerenah Birokrasi siap, menjana penjimatan kos pematuhan RM3.71 bilion setakat 30 Okt - MITI | 

Big Caring Group Unjur Pertumbuhan Dua Digit Daripada Pengambilalihan

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Big Caring Group Bhd mengunjurkan rancangan pengambilalihannya akan memacu pertumbuhan dua digit bagi syarikat farmaseutikal berkenaan.

Ini termasuk cadangan pengambilalihan Yeap Medical Supplies Pte Ltd (YMS) yang berpangkalan di Singapura yang dijangka selesai menjelang akhir November atau awal Disember tahun ini.

Kumpulan itu merancang untuk mengambil alih 96 peratus kepentingan ekuiti dalam YMS melalui tiga peringkat, masing-masing sebanyak 76 peratus, 10 peratus dan lagi 10 peratus.

Ad Banner
Ad Banner

Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas Chan Lih Wen berkata, pengambilalihan itu berskala agak kecil, menjana keuntungan bersih beberapa juta dolar Singapura dan dijangka menyumbang secara sederhana kepada keseluruhan pendapatan kumpulan pada peringkat semasa.

“Bagaimanapun, bagi setiap pengambilalihan yang kami lakukan, kami sentiasa mengunjurkan pertumbuhan dua digit yang tinggi seiring dengan jangkaan pengasas dan aspirasi pertumbuhan pihak pengurusan,” katanya kepada media pada majlis penyenaraian syarikat itu di sini pada Khamis.

Saham syarikat itu dibuka pada harga RM1.05 pada hari pertama dagangannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia iaitu tiga sen lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM1.08 dengan sebanyak 15.09 juta saham diniagakan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Chan memberitahu YMS merupakan perniagaan pengedaran barangan perubatan yang membekalkan produk kepada rumah jagaan kejururawatan, hospital dan klinik.

“Justeru, pada asasnya, kami mengambil alih saluran pengedaran untuk menembusi pasaran penjagaan kesihatan di Singapura,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lee Meng Chuan memaklumkan kumpulan itu akan terus terbuka kepada peluang di pasaran lain dengan keputusan pengembangan perniagaan didorong oleh potensi nilai pengambilalihan dan bukannya sasaran geografi tertentu.

Lee mengunjurkan perbelanjaan penjagaan kesihatan akan terus meningkat, disokong oleh kesedaran kesihatan yang semakin tinggi dan populasi negara yang semakin menua di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.

“Kesedaran rakyat Malaysia terhadap penjagaan kesihatan semakin meningkat selepas pandemik COVID-19. Ia sekali gus mendorong peningkatan perbelanjaan bagi produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Semakin ramai golongan muda khususnya remaja dan mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun mula mengambil suplemen kesihatan serta menyertai aktiviti sukan dan fizikal lain,” katanya.

Beliau menambah bahawa kumpulan itu menyasarkan pertumbuhan jualan kedai sedia ada (SSSG) antara tujuh hingga sembilan peratus bagi keseluruhan rangkaian kedainya tahun depan.

Menurut beliau semakin ramai golongan muda khususnya remaja dan mereka yang berusia antara 20 hingga 40 tahun, mula mengambil suplemen kesihatan serta menyertai aktiviti sukan dan kegiatan fizikal lain.

BIG CARING Group kini merupakan rangkaian farmasi runcit berorganisasi terbesar di Malaysia setelah berkembang daripada sebuah cawangan tunggal kepada 668 cawangan.

Sementara itu, Chan berkata segmen penjagaan kesihatan dan farmaseutikal kumpulan itu dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Ini memandangkan kedua-duanya merangkumi produk keperluan seperti ubat-ubatan tanpa preskripsi (OTC), suplemen kesihatan dan ubat-ubatan preskripsi yang diperlukan pengguna secara berkala.

Beliau menyatakan, permintaan terhadap produk berkenaan secara umumnya lebih berdaya tahan berbanding barangan bukan keperluan, memandangkan pengguna yang mengambil ubat-ubatan berdasarkan preskripsi atau suplemen kesihatan perlu meneruskan pengambilannya secara berterusan.

-- BERNAMA