Petronas Gas Catat Untung Bersih Suku Ketiga Naik Kepada RM630.54 Juta, Umum Dividen 18 Sen
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB), mencatat peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM630.54 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2026, daripada RM444.22 juta pada tahun sebelumnya.
Keuntungan bersih itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh margin yang lebih baik dalam segmen pengangkutan gas dan pengegasan semula, yang mencatatkan hasil lebih tinggi, menurut PGB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Hasil bagaimanapun susut sedikit kepada RM1.60 bilion berbanding RM1.61 bilion pada suku sama tahun lepas disebabkan hasil yang lebih rendah daripada segmen utiliti susulan penurunan jumlah jualan bagi semua produk berikutan permintaan yang lebih lemah.
Sehubungan itu, lembaga pengarah telah meluluskan dividen interim ketiga sebanyak 18 sen sesaham biasa, berjumlah RM356.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026.
Dividen itu akan dibayar pada 23 Disember, 2026.
Sementara itu, bagi tempoh terkumpul sembilan bulan, keuntungan bersihnya meningkat kepada RM1.52 bilion berbanding RM1.36 bilion sebelum ini, manakala hasil merosot kepada RM4.69 bilion daripada RM4.80 bilion.
PGB memaklumkan kumpulan itu dijangka mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi 2026, disokong oleh pendapatan stabil daripada perniagaan yang dikawal selia dan berasaskan kontrak jangka panjang serta kecemerlangan operasi yang berterusan.
“Prestasi kumpulan turut disokong oleh sumbangan yang semakin meningkat daripada portfolio perniagaannya yang pelbagai dan kesan 'one-off' yang menguntungkan sepanjang tahun ini.
“Bagi suku tahun yang berbaki, aktiviti penyelenggaraan yang lebih tinggi akan menyokong program berterusan kumpulan dalam memastikan kebolehpercayaan aset dan jaminan keselamatan,” tambahnya.
Menurut PGB, pihaknya kekal fokus untuk memperkukuh daya tahan operasi, kecemerlangan komersial dan daya saing kos, di samping memajukan inisiatif pertumbuhan strategik bagi memberikan nilai jangka panjang yang mampan kepada para pemegang saham.
-- BERNAMA