Selangor Berhasrat Hubungkan Kerjasama Global Dengan Bakat, Perniagaan Tempatan
KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kerajaan negeri Selangor menyasarkan untuk memastikan perkongsian global merentasi semua sektor diterjemahkan kepada peluang bagi membangunkan bakat tempatan serta memperkukuh perniagaan Malaysia, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata para pelabur boleh memanfaatkan tenaga kerja negeri ini yang berkemahiran tinggi, menguasai pelbagai bahasa, serta terlatih dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi mempercepatkan proses membawa produk ke pasaran dan membina rantaian bekalan yang tangkas serta berdaya tahan.
“Kesediaan ini diperkukuh lagi melalui kesalinghubungan yang transformatif; antaranya, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mewujudkan hubungan darat terus antara Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan, Koridor Rel Selangor dirancang untuk menghubungkan kluster-kluster perindustrian kita, serta cadangan pembinaan pelabuhan ketiga di Pulau Carey yang akan mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Klang dalam sektor maritim global.
“Tambahan pula, menerusi inisiatif SPEED Selangor, kami telah menghapuskan kekangan birokrasi, dengan menjamin kelulusan pembangunan berkanun diberikan dalam tempoh 30 hari,” katanya.
Ucapan beliau dibaca oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Nge Sze Han, pada majlis Anugerah Penghargaan Pelabur Selangor 2025 (SIAA 2025) di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd, Datuk Hasan Azhari Idris berkata negeri itu sedang meletakkan kedudukannya di barisan hadapan dalam sektor-sektor bernilai tinggi khususnya semikonduktor, infrastruktur digital, kecerdasan buatan, dan pembuatan termaju.
“Kita mesti terus membangunkan ekosistem yang kukuh dan bersepadu, membolehkan perniagaan berkembang, berinovasi, dan bersaing di peringkat antarabangsa.
“Memandangkan ASEAN kini menjadi rantau ekonomi yang semakin penting, Selangor berada pada kedudukan strategik untuk berperanan sebagai pintu masuk bagi pelaburan serantau dan kerjasama perniagaan,” katanya.
Beliau berkata Selangor komited untuk menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan syarikat multinasional, sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menyertai rantaian bekalan global, mengakses teknologi baharu dan memenuhi piawaian antarabangsa.
Menyentuh mengenai masa depan, Hasan Azhari berkata Invest Selangor berhasrat untuk memainkan peranan lebih strategik dalam mencorakkan landskap pelaburan negeri dengan menarik pelaburan berkualiti, pelaburan yang mampu menjana aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran, serta memperkukuh industri tempatan.
Majlis SIAA mengiktiraf kecemerlangan merentasi pelbagai kategori, dengan penerima dipilih berdasarkan projek-projek dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada tahun 2025.
Kategori-kategori tersebut merangkumi pelaburan baharu dan pelaburan pengembangan tertinggi oleh syarikat tempatan serta asing dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Selangor serta kategori Lokasi Pelaburan Paling Digemari mengikut Pihak Berkuasa Tempatan dan Daerah di Selangor untuk 2025.
-- BERNAMA
TAG: Selangor, Invest Selangor, bakat tempatan, Amirudin Shari, Ng Sze Han
FUAH AHA YAM