Keuntungan Bersih Kelington Meningkat Kepada RM56.58 Juta Pada Suku Ketiga
KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Kelington Group Bhd meningkat kepada RM56.58 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2026, berbanding RM41.13 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Hasil kumpulan turut melonjak 40 peratus kepada RM444.20 juta daripada RM316.36 juta, didorong pengiktirafan hasil lebih tinggi daripada projek yang sedang dilaksanakan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu itu memaklumkan bahagian Kejuruteraan Termaju (Ketulenan Ultra Tinggi) kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kumpulan, merangkumi 61 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil.
Bahagian Infrastruktur Perindustrian Termaju mencatatkan hasil RM123.1 juta, meningkat 130 peratus tahun ke tahun, terutamanya disokong pelaksanaan secara berperingkat kontrak baharu yang diperoleh di Malaysia.
Sementara itu, hasil bahagian Gas Industri kekal stabil pada RM33.5 juta, disokong jualan karbon dioksida cecair yang konsisten.
Bagaimanapun, hasil bahagian Kejuruteraan Proses merosot 49 peratus tahun ke tahun, terutamanya berikutan penyelesaian beberapa projek di Taiwan dan Singapura, sekali gus mengurangkan sumbangan bahagian itu berbanding suku sama tahun lepas.
Bagi tempoh sembilan bulan TK2026, keuntungan bersih kumpulan meningkat kepada RM128.31 juta daripada RM100.67 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil bertambah kepada RM1.05 bilion berbanding RM868.66 juta.
Mengenai prospek, syarikat itu berkata kumpulan memperoleh kontrak baharu bernilai RM4.08 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Sept 2026, sekali gus meningkatkan buku pesanannya yang belum dilaksanakan kepada RM4.49 bilion, paras tertinggi dalam sejarah kumpulan.
"Buku pesanan pada paras rekod ini, ditambah dengan saluran tender yang besar serta peluasan kehadiran dalam pasaran pertumbuhan utama, menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan mampan sepanjang baki TK2026 dan seterusnya," menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutifnya Lim Seng Chuan berkata industri semikonduktor terus menawarkan prospek pertumbuhan yang memberangsangkan, didorong peningkatan pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI) dan kemudahan pembuatan termaju.
"Dengan kepakaran teknikal yang mantap dan kehadiran antarabangsa yang semakin berkembang, kami berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peluang ini. Kami akan terus meneroka projek baharu sambil memastikan sumber dan keupayaan yang diperlukan tersedia bagi melaksanakan projek berkenaan dengan berkesan," katanya.
Lembaga Pengarah turut mengumumkan dividen interim ketiga satu peringkat sebanyak tiga sen sesaham biasa serta dividen interim khas satu peringkat sebanyak satu sen sesaham biasa bagi tahun kewangan 2026, berjumlah RM35.2 juta.
-- BERNAMA