BERITA TERKINI   PKR tidak akan bertanding dalam PRN Sarawak - Majlis Pimpinan PKR Negeri | ACLE: Ratchaburi FC 1-1 JDT | 

Wasco Catat Untung Bersih RM29.60 Juta Pada Suku Ketiga 2026

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Wasco Bhd (Wasco) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM29.60 juta bagi suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2026 (S3 2026) berbanding RM34.65 juta pada suku yang sama tahun lepas. 

Perolehan pula berjumlah RM421.29 juta berbanding RM599.90 juta sebelumnya, mencerminkan pelaksanaan yang lebih perlahan bagi projek tertentu yang diperoleh dalam segmen perkhidmatan saluran paipnya. 

Bagi tempoh sembilan bulan tersebut, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM72.14 juta dan perolehan sebanyak RM1.36 bilion berbanding masing-masing RM104.03 juta dan RM2.01 bilion, dalam tempoh yang sama tahun lepas. 

Ad Banner

Dalam satu kenyataan, penyedia penyelesaian infrastruktur tenaga bersepadu itu memaklumkan bahawa prestasi syarikat telah terjejas akibat pelaksanaan yang lebih perlahan bagi beberapa projek yang diperoleh dalam segmen perkhidmatan saluran paipnya.

Ini disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan berikutan konflik berpanjangan di Asia Barat yang terus menjejaskan jadual pelanggan dan masa pengiktirafan hasil.

Menurut syarikat itu, ia memperoleh kontrak baharu dan arahan perubahan kerja bernilai RM563.1 juta pada suku ketiga 2026, iaitu jumlah perolehan pesanan suku tahunan tertinggi bagi tahun tersebut, sekali gus menjadikan nilai perolehan kontrak dalam tangan berjumlah RM2.6 bilion.

Ad Banner
Ad Banner

“Penganugerahan kontrak meningkat dengan pantas sepanjang sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026 (TK2026), melonjak daripada RM203.4 juta pada suku pertama (S1) kepada RM391.0 juta pada suku kedua (S2) dan RM563.1 juta pada suku ketiga (S3).

“Kontrak-kontrak terbaharu itu merangkumi kerja-kerja salutan saluran paip bagi pembangunan tenaga luar pesisir dan darat, infrastruktur berkaitan LNG (gas asli cecair), serta skop kejuruteraan dan fabrikasi khusus untuk pemprosesan gas dan aplikasi bahan api penerbangan mampan," jelas syarikat itu.

Selain nilai perolehan kontrak dalam tangan yang telah diperoleh, Wasco menyatakan bahawa nilai tendernya berjumlah RM11.4 bilion setakat 30 September 2026, iaitu lebih empat kali ganda nilai kontrak kerja sedia ada, sekali gus menyediakan prospek peluang yang meluas merentasi pelbagai segmen perniagaannya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gian Carlo Maccagno berkata kontrak baharu yang diperoleh sepanjang suku tersebut mencerminkan pelaburan berterusan dalam infrastruktur tenaga dan permintaan yang berkekalan terhadap keupayaan kumpulan itu.

“Tumpuan kami kekal pada pelaksanaan beban kerja yang telah diperoleh dan menukarkan projek-projek yang dimenangi ini kepada hasil dan aliran tunai.

“Berikutan ketegangan geopolitik yang berpanjangan dan ketidaktentuan dalam persekitaran operasi global, kecekapan operasi, disiplin kos serta pelaksanaan projek yang berkesan kekal menjadi keutamaan kami,” katanya.

Wasco turut menyatakan hasratnya untuk mengembalikan sebahagian daripada hasil itu kepada pemegang saham menerusi dividen khas indikadif sebanyak 30 sen sesaham, manakala sebahagian daripada baki hasil itu diperuntukkan bagi penggabungan dan pengambilalihan terpilih yang selaras dengan strategi perolehan jangka panjang kumpulan tersebut.

-- BERNAMA