BERITA TERKINI   Kes edar dadah: Siasatan awal dapati sindiket ada hubungan dengan personel serta akses kepada operasi penerbangan tentera - Saifuddin Nasution | Sindiket dadah guna kemudahan tentera: Tiada pihak terlepas tindakan undang-undang - Saifuddin Nasution | Golongan berpendapatan pertengahan di Malaysia dan ASEAN akan merangsang permintaan serantau, mengurangkan kebergantungan kepada pasaran AS - Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong | Lapan daerah iaitu Tawau, Sandakan, Semporna, Lahad Datu, Kunak, Beluran, Telupid, dan Kinabatangan terputus bekalan elektrik pagi ini - Sabah Electricity | 

Ekonomi Malaysia Di Landasan Tepat, Impak Agenda Ekonomi MADANI Dijangka Lebih Menyeluruh Dalam Jangka Panjang

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama)  -- Ekonomi Malaysia berada pada landasan pertumbuhan yang tepat susulan pelaksanaan agenda dan strategi di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Namun kesan usaha penstrukturan semula ekonomi negara dijangka lebih menyeluruh dalam jangka panjang, khususnya dari segi produktiviti, nilai ditambah domestik dan kesejahteraan rakyat.

Ad Banner

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata prestasi ekonomi negara kekal konsisten, disokong kekuatan asas ekonomi serta persekitaran perniagaan yang semakin baik.

Beliau berkata penambahbaikan kecekapan kerajaan, tadbir urus dan ekosistem perniagaan turut menyumbang kepada peningkatan kedudukan daya saing Malaysia, sekali gus mencerminkan keyakinan yang lebih baik terhadap persekitaran ekonomi negara.

 

Ad Banner
Ad Banner

BUDI95 SEBAGAI MEKANISME PENGAGIHAN SUBSIDI BERKESAN

Mengulas kecekapan perbelanjaan kerajaan, Muhammad Ridhuan berkata kerajaan menggunakan sumber secara cekap termasuk melalui usaha memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan sasar.

Beliau berkata dari sudut kesejahteraan ekonomi, pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) juga boleh memberi implikasi dasar kepada kerajaan dalam menilai petunjuk seperti kuasa beli dan kos sara hidup.

“Pada saya sebagai ahli ekonomi, kerajaan telah berusaha untuk tidak mengabaikan kesaksamaan manfaat subsidi.

“BUDI95 menjadi lebih kritikal apabila kita mengintegrasikannya dengan keupayaan kerajaan menjana hasil dan kedudukan fiskal negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dari perspektif ekonomi sektor awam, usaha kerajaan boleh dinilai berdasarkan tiga aspek, iaitu meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan, memperkukuh kemampanan fiskal negara serta memelihara kesejahteraan dan kuasa beli rakyat.

Katanya, kerajaan perlu meneruskan konsolidasi fiskal melalui rasionalisasi perbelanjaan serta pengembangan kapasiti ekonomi negara.

“Rasionalisasi subsidi diperlukan untuk menangani tekanan fiskal dalam jangka pendek. Namun, dalam jangka panjang, kemampanan fiskal sangat bergantung kepada struktur pertumbuhan ekonomi, nilai ditambah domestik, keuntungan firma dan pendapatan pekerja,” kata beliau ketika mengulas mengenai pencapaian empat tahun Kerajaan MADANI.

 

PELABURAN MENCERMINKAN KEYAKINAN TERHADAP EKONOMI

Berdasarkan statistik, pelaburan diluluskan meningkat kepada RM426.7 bilion pada 2025 berbanding RM264.6 bilion pada 2022, manakala pelaburan digital yang diluluskan bagi tempoh 2022 hingga 2025 berjumlah RM376.7 bilion.

Antara pelaburan teknologi bernilai tinggi yang disenaraikan ialah Infineon yang bernilai US$10 bilion, Intel (US$7 bilion), Amazon Web Services (AWS) (US$6.2 bilion), Microsoft (US$2.2 bilion) dan Google (US$2 bilion).

Bagi sektor pembuatan, industri elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang lebih 43 peratus daripada jumlah eksport negara dengan Malaysia menguasai 13 peratus pasaran global bagi aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan semikonduktor (ATP), selain berada di kedudukan keenam sebagai pengeksport semikonduktor terbesar dunia.

Muhammad Ridhuan berkata perkembangan itu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem dan persekitaran perniagaan negara, namun pelaburan fizikal lazimnya mengambil masa antara satu hingga tiga tahun sebelum kesan limpahannya dapat dirasai dengan lebih meluas dalam ekonomi domestik.

“Dalam jangka pendek, perkembangan ekonomi turut dapat dilihat menerusi peningkatan eksport negara,” katanya.

Dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan dan memperluas hubungan ekonomi antarabangsa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut aktif mempromosikan potensi Malaysia menerusi lawatan rasmi dan pertemuan dengan pemimpin serta pemain industri luar negara.

Antara usaha memperluas kerjasama ekonomi antarabangsa itu ialah pengukuhan hubungan Malaysia dengan Uzbekistan, khususnya dalam sektor tenaga, petrokimia dan teknologi hijau.

Semasa lawatan rasmi Anwar ke negara itu pada Mei 2024, kedua-dua negara bersetuju meneroka peluang kerjasama dalam sektor petrokimia dan penyelesaian tenaga hijau.

Pihak Uzbekistan turut menyatakan minat untuk bekerjasama dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas), khususnya dalam projek methanol-to-olefins (MTO), pengeluaran hidrogen hijau dan ammonia hijau, selain potensi sumbangan Petronas dalam latihan tenaga kerja sektor minyak dan gas negara itu.

Kerjasama tenaga turut menjadi antara agenda hubungan Malaysia-Rusia apabila Anwar mengadakan lawatan kerja ke Kazan pada Jun 2026.

Rusia memberi jaminan bekalan petrol, minyak dan gas kepada Malaysia bagi tempoh jangka panjang, dengan persiapan ke arah perjanjian bekalan berbilang tahun bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara.

Bagaimanapun, usaha menarik pelaburan dan memperluas kerjasama antarabangsa perlu disokong oleh peningkatan daya saing negara, khususnya dari segi produktiviti dan keupayaan syarikat untuk bersaing di peringkat global.

Malaysia, yang menyasar untuk menjadi antara 12 ekonomi paling berdaya saing di peringkat global menjelang 2030 berada die kedudukan ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia IMD 2026, melonjak daripada tempat ke-23 pada tahun lepas yang mana  merupakan satu kemajuan ketara berbanding kedudukan ke-32 yang dicapai empat tahun lepas.

 

PERTUMBUHAN EKSPORT PERLU DISOKONG NILAI DITAMBAH DOMESTIK

Berdasarkan data perdagangan, nilai eksport Malaysia meningkat daripada RM1.5 trilion pada 2024 kepada RM1.6 trilion pada 2025, manakala bagi tempoh Januari hingga September 2026, nilainya mencecah RM1.8 trilion.

Bagaimanapun, Muhammad Ridhuan berpandangan penilaian prestasi eksport perlu turut mengambil kira sumbangan eksport domestik, kapasiti pengeluaran dan nilai ditambah yang dihasilkan syarikat tempatan.

“Dari perspektif organisasi industri, saya perlu melihat sama ada peningkatan eksport ini turut disokong oleh peningkatan kapasiti pengeluaran domestik, kecekapan syarikat dan nilai ditambah.

“Jika pertumbuhan eksport lebih pantas berbanding peningkatan produktiviti domestik, kita perlu meneliti struktur industri, khususnya kedudukan firma tempatan dalam rantaian nilai global serta hubungan antara syarikat multinasional dengan pembekal domestik,” katanya.

Beliau berkata pertumbuhan eksport juga perlu dilihat berdasarkan komposisinya, termasuk sumbangan eksport semula dan permintaan global terhadap produk E&E.

Justeru, katanya, dasar perdagangan dan industri perlu turut menumpukan kepada usaha meningkatkan eksport domestik, selain memastikan pertumbuhan perdagangan luar negara menghasilkan limpahan ekonomi yang lebih besar kepada syarikat tempatan.

 

PRODUKTIVITI, PENDAPATAN PEKERJA PENENTU PERTUMBUHAN JANGKA PANJANG

Muhammad Ridhuan berkata penambahbaikan produktiviti memerlukan usaha jangka panjang yang melibatkan penerapan teknologi, pendigitalan, inovasi, pembangunan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta peningkatan keupayaan syarikat untuk menghasilkan produk bernilai tambah lebih tinggi.

Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan pelaburan baharu bukan sahaja meningkatkan kapasiti pengeluaran, malah turut memperkukuh keupayaan teknologi dan penyertaan industri tempatan dalam rantaian bekalan global.

Mengulas hubungan antara produktiviti dengan pendapatan pekerja, Muhammad Ridhuan berkata data Bank Negara Malaysia menunjukkan produktiviti buruh meningkat sebanyak sembilan peratus antara 2019 hingga 2025, sedangkan upah benar bagi setiap pekerja sektor swasta susut sebanyak 1.7 peratus dalam tempoh yang sama.

Katanya, jurang itu menunjukkan bahawa peningkatan produktiviti perlu disusuli dengan usaha memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada pendapatan pekerja yang lebih baik.

“Saya melihat Malaysia berada pada laluan pertumbuhan yang tepat, tetapi kita perlu memastikan pertumbuhan tersebut semakin berkualiti melalui peningkatan produktiviti, kecekapan syarikat dan nilai ditambah.

“Kesan daripada penambahbaikan teknologi, pendigitalan dan inovasi lazimnya mengambil masa lebih panjang untuk diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata kesinambungan pelaksanaan dasar pertumbuhan sedia ada, khususnya dalam memperkukuh inovasi, pembangunan modal insan dan keupayaan industri domestik, penting bagi memastikan momentum ekonomi negara dapat dikekalkan dalam jangka panjang.

-- BERNAMA