Sime Darby Catat Untung Bersih Suku Pertama Lebih Tinggi Sebanyak RM416 Juta
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih Sime Darby Bhd (Sime Darby) pada suku pertama (S1) yang berakhir pada 30 September 2026 meningkat kepada RM416 juta berbanding RM355 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Bagaimanapun, kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia menyatakan bahawa perolehan merosot kepada RM16.70 bilion berbanding RM18.03 bilion sebelumnya.
Menurut Sime Darby, keuntungan bersih kumpulan itu meningkat sebanyak 17.2 peratus, terutamanya didorong oleh keuntungan daripada aktiviti pembangunan hartanah perindustrian dalam anak syarikat milik penuhnya, UMW Holdings Bhd (UMW).
“Keuntungan UMW sebelum faedah dan cukai meningkat kepada RM432 juta pada suku semasa, terutamanya disebabkan oleh keuntungan daripada penjualan inventori pembangunan hartanah sebanyak RM148 juta,” menurut Sime Darby.
Mengenai prospek, Sime Darby menjelaskan bahawa lembaga pengarah menjangkakan prestasi kewangan teras kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2027 adalah konsisten dengan prestasi tahun kewangan 2026.
Menurut Sime Darby, prospek ekonomi global kekal tidak menentu berikutan ketegangan perdagangan yang berlarutan dan risiko geopolitik.
“Keadaan perniagaan dijangka kekal mencabar bagi kedua-dua segmen perindustrian dan permotoran berikutan ketidaktentuan makroekonomi.
“Segmen permotoran berdepan cabaran berterusan akibat permintaan pengguna yang lemah dan persaingan pasaran yang semakin sengit.
“Bagaimanapun, permintaan jangka sederhana hingga jangka panjang bagi produk dan perkhidmatan selepas jualan kumpulan ini daripada industri perlombongan di Australia dijangka kekal kukuh,” menurut syarikat itu.
-- BERNAMA