TNB Utamakan Pemuliharaan Biodiversiti Dalam Peralihan Tenaga
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) terus mengutamakan pemuliharaan biodiversiti serta pengurusan risiko berkaitan alam semula jadi dalam melaksanakan peralihan tenaga ke arah masa depan yang lebih bersih, berdaya tahan dan mampan.
Ketua Pegawai Kelestarian TNB Leo Pui Yong berkata pemuliharaan biodiversiti merupakan antara aspek penting yang diterapkan dalam usaha syarikat itu mencapai matlamat peralihan tenaga.
Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi panel anjuran Malaysia Forest Fund (MFF) di Pavilion Malaysia sempena Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Türkiye, pada 14 Nov lepas.
Menurut hantaran TNB di media sosial, beliau membincangkan topik bertajuk “Pembiayaan Alam Semula Jadi, Memperkasa Hutan: Memacu Tindakan Korporat menerusi Sijil Pemuliharaan Hutan (FCC)”.
Sesi itu mengupas peranan FCC dalam menarik pembiayaan sektor swasta bagi menyokong usaha pemuliharaan hutan, selain membantu syarikat memperkukuh amalan kelestarian dan pelaporan berkaitan alam semula jadi.
Perbincangan itu turut menekankan kepentingan mengambil kira aspek biodiversiti dalam membuat keputusan korporat, meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim serta memastikan komitmen kelestarian diterjemahkan kepada hasil pemuliharaan yang boleh diukur.
COP31 merupakan persidangan tahunan ke-31 Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), yang menghimpunkan wakil kerajaan, perunding, sektor perniagaan, masyarakat sivil dan pemerhati dari hampir 200 negara untuk membincangkan dasar iklim global, pengurangan pelepasan, langkah penyesuaian serta pembiayaan iklim.
-- BERNAMA