Affin Islamic, MUIS Jalin Kerjasama Bagi Pacu Pendigitalan Pengurusan Masjid Di Sabah
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Affin Islamic Bank Bhd (Affin Islamic) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik melibatkan inisiatif kewangan dan perbankan Islam, tertumpu kepada pendigitalan masjid, pengurusan kewangan dan kutipan zakat, wakaf serta sumbangan kebajikan di seluruh Sabah.
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank Datuk Syed Mashafuddin Syed Badarudin berkata kerjasama itu akan menggabungkan kepakaran perbankan dan keupayaan pembayaran digital bank tersebut dengan peranan MUIS dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam di Sabah menerusi aplikasi mudah alih.
Beliau berkata kerjasama itu akan memberi tumpulan kepada empat inisiatif utama, yang bertujuan memacu pendigitalan masjid, surau dan komuniti Islam yang lebih meluas di Sabah.
“Aplikasi mudah alih bank ini akan membolehkan komuniti Islam, termasuk anggota kariah untuk mengakses pelbagai fungsi seperti waktu solat, arah kiblat dan kandungan al-Quran,” katanya kepada wartawan selepas majlis menandatangani MoU di sini hari ini.
Syed Mashafuddin berkata aplikasi mudah alih itu juga akan memudahkan pembayaran zakat dan pemberian sumbangan, sekali gus membolehkan pengguna untuk membuat sumbangan dari jarak jauh tanpa perlu hadir secara fizikal di Sabah.
“Ini bermakna pengguna tidak perlu berada secara fizikal di Sabah untuk membuat sumbangan. Sebagai contoh, seseorang yang berada di Kuala Lumpur boleh membuat sumbangan menerusi aplikasi mudah alih ini,” katanya.
Mengenai garis masa pelaksanaan, beliau berkata kedua-dua pihak akan membincangkan perinciannya dengan lebih lanjut, sambil menambah bahawa pihak bank bersedia untuk meneruskan kerjasama tersebut.
Sementara itu, Affin Islamic dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa MoU selama tiga tahun itu menggariskan empat inisiatif utama, iaitu pendigitalan pengurusan masjid, pendigitalan kutipan dana masjid, kutipan wakaf secara digital dan perkhidmatan kutipan zakat.
Mengikut inisiatif tersebut, Affin Islamic akan menyediakan saluran pembayaran digital, termasuk kod respons pantas (QR) dan pertukaran proses kewangan (FPX), bagi memudahkan kutipan infaq, sedekah, wakaf serta sumbangan lain yang diluluskan.
“Kemudahan ini bertujuan membantu pihak pengurusan masjid dan surau meningkatkan kecekapan proses kutipan dan pelaporan kewangan.
“Aplikasi mudah alih yang dicadangkan itu bertujuan menyepadukan fungsi pengurusan masjid, maklumat mengenai program anjuran masjid, dan kemudahan sumbangan amal ke dalam satu platform,” menurut bank itu.
Selain itu, menurut Affin Islamic, kedua-dua pihak juga akan mengenalpasti kemudahan perbankan yang bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan kutipan secara digital bagi dana patuh syariah dan sumbangan amal, sambil menyediakan saluran pembayaran yang lebih mudah kepada orang ramai.
Majlis memeterai MoU itu disaksikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Syed Mashafuddin, serta Setiausaha dan Ketua Pegawai Eksekutif MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali.
-- BERNAMA