Untung Bersih RHB Bank Susut Kepada RM800.39 Juta Pada Suku Ketiga
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih RHB Bank Bhd (RHB Bank) menyusut kepada RM800.39 juta pada suku ketiga yang berakhir pada 30 September 2026 (S3 2026) berbanding RM904.0 juta dalam suku yang sama tahun sebelumnya, berikutan pendapatan berasaskan bukan dana yang lebih rendah.
Menurut kumpulan perbankan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, pendapatan merosot kepada RM4.42 bilion berbanding RM4.52 bilion sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih RHB Bank meningkat 0.3 peratus kepada RM2.46 bilion pada suku ketiga 2026 berbanding RM2.45 bilion, terutamanya disebabkan oleh pendapatan pembiayaan bersih yang lebih tinggi dan perbelanjaan cukai yang lebih rendah, manakala perolehan merosot kepada RM13.05 bilion daripada RM13.41 bilion sebelumnya.
Pendapatan pembiayaan bersih meningkat 5.6 peratus kepada RM4.73 bilion berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan pinjaman kasar dan pembiayaan sebanyak 8.3 peratus serta kos pembiayaan yang lebih rendah.
“Kami mengekalkan pertumbuhan pinjaman yang stabil sebanyak 8.3 peratus tahun ke tahun, yang meningkatkan pendapatan bersih berasaskan dana sebanyak 5.6 peratus, manakala pendapatan yuran yang lebih tinggi terus menyokong pendapatan kami yang bukan berasaskan dana.
“Kualiti aset turut bertambah baik, dengan jangkaan kerugian kredit bagi pinjaman merosot sebanyak 21.1 peratus dan nisbah pinjaman terjejas kasar domestik kami berada pada paras 1.30 peratus, iaitu di bawah purata industri,” kata Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Mohd Rashid Mohamad dalam satu kenyataan berasingan.
Tiada dividen diisytiharkan bagi suku ketiga 2026.
Mengenai prospek, RHB Bank memaklumkan bahawa ia kekal komited untuk melaksanakan strategi PROGRESS27, selain meletakkan kumpulan itu pada kedudukan yang membolehkannya merebut peluang yang muncul daripada keutamaan pembangunan negara.
“Tumpuan kami adalah untuk terus memberikan pertumbuhan yang mampan, mengekalkan daya tahan kewangan dan pengurusan risiko yang berhemat, sambil menyokong pelanggan serta komuniti dalam mengharungi landskap ekonomi yang sentiasa berubah,” menurut kumpulan perbankan itu.
-- BERNAMA