Bursa Malaysia Kekal Tinggi Pada Tengah Hari
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal tinggi pada tengah hari ini, sejajar dengan sentimen positif di pasaran serantau yang didorong oleh aktiviti belian dalam sektor produk dan perkhidmatan perindustrian serta utiliti.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.91 mata atau 0.50 peratus kepada 1,578.89 daripada 1,570.98 semasa ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran yang dibuka rendah 0.15 mata kepada 1,570.83 bergerak antara 1,564.52 dan 1,583.87 pada sesi dagangan pagi.
Pasaran secara menyeluruh positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 578 berbanding 361 manakala 403 kaunter tidak berubah, 1,444 tidak diniagakan dan 113 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.89 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.
Press Metal Aluminium menambah 24 sen kepada RM6.64, YTL Power International meningkat 22 sen kepada RM3.83 dan YTL Corporation naik lapan sen kepada RM1.65. Kaunter tersebut menyumbang sebanyak 8.57 mata kepada kenaikan indeks komposit.
Dalam nota penyelidikan, Hong Leong Investment Bank Bhd memaklumkan FBM KLCI dijangka kekal tidak menentu, dengan sebarang kenaikan semula indeks itu dijangka sukar melepasi paras 1,585 hingga 1,600 mata, seiring dengan turun naik pasaran Wall Street.
“Sentimen pasaran terus berada di bawah tekanan berikutan pendirian Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengenai dasar monetarinya, sekatan lebih ketat oleh AS terhadap eksport cip kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan pusat data, ancaman tarif baharu, prestasi pendapatan korporat pada November yang bercampur-campur dan aliran keluar asing yang berterusan.
“Bagaimanapun, aktiviti memperelok akaun pada akhir tahun berpotensi mengurangkan risiko penurunan pasaran,” menurutnya.
Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangka FBM KLCI diniagakan berhati-hati hari ini, dengan Wall Street ditutup bersempena dengan cuti Hari Kesyukuran manakala laporan bahawa Nvidia menghentikan sementara penghantaran pelayan AI turut memberi impak kepada saham berkaitan pusat data.
“Kami melihat peluang untuk membeli saham Frontken Corporation Bhd, UWC Bhd dan ViTrox Corporation Bhd ketika harganya mencatatkan penurunan, disokong oleh cadangan pengecualian tarif AS terhadap produk semikonduktor,” menurutnya.
Keuntungan bersih Frontken meningkat 25 peratus tahun ke tahun kepada RM57.3 juta pada suku ketiga 2026 manakala keuntungan bersih UWC melonjak 129.7 peratus kepada RM37.6 juta pada suku keempat 2026.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, CIMB menambah tujuh sen kepada RM7.27, Tenaga Nasional menurun 10 sen kepada RM12.40, IHH Healthcare berkurangan empat sen kepada RM7.86, Public Bank menyusut satu sen kepada RM4.65 manakala Maybank mendatar pada RM10.24.
Dalam dagangan aktif, NationGate Holdings naik 12 sen kepada RM1.47, CBH Engineering meningkat tiga sen kepada 49 sen, Nexgram Holdings menurun setengah sen kepada dua sen manakala NexG Bina, Zetrix AI dan MAG Holdings, masing-masing mendatar pada 3.5 sen, lima sen dan 16 sen.
Kaunter paling untung ialah Fraser & Neave naik 72 sen kepada RM20.38, Kelington meningkat 48 sen kepada RM7.10, Vitrox Corporation menambah 43 sen kepada RM9.28, Sunway Construction menokok 38 sen kepada RM6.50 dan MN Holdings naik 33 sen kepada RM2.50.
Kaunter paling rugi ialah Malaysia Pacific Industries menurun 26 sen kepada RM35.54, Hong Leong Financial Group, Tenaga Nasional dan UMS Integration, masing-masing merosot 10 sen kepada RM17.02, RM12.40 dan RM5.80 serta Signature International berkurangan lapan sen kepada RM1.22.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 98.43 mata kepada 11,566.11, Indeks FBM Top 100 meningkat 89.68 mata kepada 11,418.79, Indeks FBM ACE melonjak 143.86 mata kepada 4,644.67, Indeks FBM Emas Shariah menokok 128.39 mata kepada 11,350.51 dan Indeks FBM Mid 70 naik 263.68 mata kepada 16,032.61.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 37.34 mata kepada 18,780.97, Indeks Perladangan menurun 5.13 mata kepada 8,767.52, Indeks Tenaga menambah 9.51 mata kepada 741.59 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 3.44 mata kepada 161.96.
-- BERNAMA