Perniagaan Perlu Pertimbang Risiko Perdagangan Global Dalam Perancangan Operasi – PUMM
SHAH ALAM, 27 Nov (Bernama) -- Syarikat tempatan perlu mengambil kira perubahan dasar perdagangan global dalam perancangan operasi bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko yang mungkin timbul, menurut Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM).
Presidennya Datuk Dr Teh Tai Yong berkata sektor perniagaan tidak seharusnya terkejut dengan perkembangan berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS), termasuk cadangan terbaharu Washington untuk mengenakan tarif tambahan sehingga 18 peratus terhadap barangan Malaysia.
“Sudah tentu kerajaan akan mengadakan rundingan dengan AS. Bagaimanapun, dari perspektif usahawan dan komuniti perniagaan, perkembangan seperti ini tidak sepatutnya lagi menjadi sesuatu yang mengejutkan.
“Kita seharusnya mengambil kira ketidaktentuan dan risiko seumpama ini dalam perancangan operasi perniagaan, khususnya bagi syarikat yang sangat bergantung pada eksport ke pasaran AS,” katanya pada sidang media sempena pelancaran Alliance of Associations (AA) di sini hari ini.
Teh turut menggesa syarikat mempelbagaikan pasaran eksport bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tertentu dan memastikan portfolio perniagaan lebih seimbang.
“Jika selama ini kita mengeksport ke pasaran tertentu, sudah tiba masanya untuk meneroka pasaran lain supaya portfolio eksport lebih seimbang,” katanya.
Sementara itu, Presiden Malaysia Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia (MRCA) Datuk Liew Bin berkata persekitaran kos operasi di Malaysia masih terkawal berbanding beberapa pasaran lain, meskipun peruncit terus berdepan peningkatan kos dan keadaan jualan yang mencabar.
“Kos sara hidup meningkat di seluruh dunia, namun saya berpendapat keadaan di Malaysia masih terkawal. Secara keseluruhannya, kedudukan kita masih baik,” katanya.
MRCA bersama-sama PUMM, Malaysia Interior Industry Partners Association (MIIP) dan Malaysia Speakers Association (MSA) hari ini melancarkan AA secara rasmi bagi membincangkan cabaran yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain meneroka peluang memperkukuh kerjasama industri.
Dalam satu kenyataan, gabungan itu memaklumkan penubuhan AA mencerminkan keperluan daya saing perniagaan yang semakin bergantung bukan sahaja pada sumber yang dimiliki syarikat, tetapi juga sumber dan rangkaian yang boleh dimanfaatkan.
“Dengan menghimpunkan wakil industri daripada sektor peruncitan, reka bentuk dan pembinaan dalaman, penceramah profesional serta keusahawanan, AA berhasrat memanfaatkan kekuatan tersendiri setiap persatuan pengasas bagi membuka peluang perniagaan merentasi sektor masing-masing,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA