BERITA TERKINI   Talian East-West Link yang menghubungkan Kolupis di Pantai Barat dan Segaliud di Pantai Timur berjaya disambung semula - CEO Sabah Electricity | Pembinaan menara ERS di Ranau siap petang ini, pemulihan bekalan elektrik ke Pantai Timur Sabah sedang dilakukan - Hajiji | 

Petronas, Staatsolie Meterai Keputusan Pelaburan Akhir Projek Gas Luar Pesisir Suriname 

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petronas Suriname E&P B.V. (PSEPBV), dan Staatsolie Maatschappij Suriname N.V. (Staatsolie) mengumumkan Keputusan Pelaburan Akhir (FID) bagi membangunkan medan gas Sloanea di Blok 52, yang terletak di luar pesisir Suriname.

Dalam satu kenyataan, Petronas berkata keputusan penting itu menandakan peralihan medan gas Sloanea daripada fasa penemuan kepada pembangunan, menjadikannya sebagai projek pembangunan gas luar pesisir pertama Suriname.

Pembangunan itu juga merupakan langkah penting dalam usaha Petronas memperluas portfolio gas asli cecair (LNG), selain memperkenalkan sumber bekalan LNG baharu dari Amerika Selatan.

Ad Banner

"Ia akan mempelbagaikan lagi portfolio bekalan global Petronas dan memperkukuh keupayaannya memenuhi keperluan pelanggan di pelbagai pasaran.

"Gas akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin bekalan tenaga dunia ketika negara-negara beralih ke arah masa depan rendah karbon. Asas bekalan LNG yang lebih pelbagai dan berdaya tahan akan semakin penting bagi memenuhi keperluan ekonomi," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata Petronas akan terus memperluas portfolio LNG menerusi kerjasama berteraskan kepercayaan dan wawasan jangka panjang yang dikongsi bersama, selain menambah sumber bekalan baharu untuk pelanggan di pelbagai pasaran pada masa depan.

Ad Banner
Ad Banner

"Asas bekalan LNG yang lebih pelbagai dan berdaya tahan akan semakin penting bagi memenuhi keperluan ekonomi. Penerokaan lembangan baharu ke dalam sistem gas global akan memperkukuh daya tahan serta meluaskan akses kepada bekalan tenaga yang boleh dipercayai," katanya.

Pengarah Urusan Staatsolie Annand Jagesar berkata projek itu menawarkan pelbagai manfaat.

"Projek ini juga membolehkan kami membuat persediaan bagi pembangunan gas ke darat pada masa depan, yang boleh menyokong pembangunan tempatan secara lebih meluas, antaranya menerusi ketersediaan bekalan elektrik yang lebih besar dan bersih," katanya.

Presiden Suriname Jennifer Geerlings-Simons berkata projek itu bukan hanya melibatkan Petronas dan Staatsolie, malah memberi kesan kepada seluruh negara, sekali gus menjadikannya tanggungjawab bersama.

Dikenali sebagai KrakaWi, projek pembangunan medan gas Sloanea itu mendapat namanya daripada bahasa Sranan Tongo, yang menggabungkan perkataan "Kraka" yang bermaksud tindakan menyokong dan memperkukuh, serta "Wi" yang bermaksud kebersamaan.

KrakaWi dibangunkan berasaskan penemuan Sloanea-1 oleh PSEPBV pada 2020. Penilaian lanjut dan kajian teknikal mengesahkan potensi medan gas itu, sekali gus membawa kepada pengisytiharan status komersialnya pada November 2025.

Konsep pembangunan yang dipilih merangkumi telaga pembangunan gas, infrastruktur dasar laut dan kemudahan LNG terapung, yang merupakan pembangunan pertama seumpamanya di rantau berkenaan.

Seiring dengan kemajuan KrakaWi ke fasa pelaksanaan, Petronas akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Suriname, Staatsolie dan rakan kongsinya bagi memperluas penyertaan syarikat tempatan menerusi pembangunan tenaga kerja, peningkatan keupayaan serta penglibatan lebih meluas pembekal dan penyedia perkhidmatan dari Suriname.

-- BERNAMA