Pergerakan Penumpang Antarabangsa MAHB Kekal Stabil Pada 4.6 Juta Pada Oktober
KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Pergerakan penumpang antarabangsa merentasi rangkaian tempatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kekal stabil secara keseluruhannya pada paras 4.6 juta pada bulan Oktober 2026, berbanding bulan sama tahun lepas.
Dalam satu kenyataan hari ini, MAHB memaklumkan bahawa rangkaian tempatannya mengendalikan 7.9 juta penumpang pada bulan tersebut, penurunan sebanyak 10.5 peratus tahun ke tahun, kebanyakannya disebabkan oleh penurunan 22 peratus dalam pergerakan penumpang domestik kepada 3.3 juta.
"Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyumbang 5.0 juta daripada jumlah penumpang bulan tersebut, termasuk 3.9 juta pergerakan antarabangsa," menurut kenyataan itu.
Menurut MAHB bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, rangkaian tersebut mengendalikan 83.1 juta penumpang, penurunan sebanyak 3.2 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
"Trafik antarabangsa meningkat 4.1 peratus kepada 45.9 juta pergerakan, manakala trafik domestik merosot 10.9 peratus kepada 37.2 juta," menurut MAHB.
Pergerakan penumpang antarabangsa di lapangan terbang selain KLIA meningkat 6.7 peratus kepada 7.3 juta dalam tempoh 10 bulan tersebut, dengan Pulau Pinang, Subang, dan Kuching antara penyumbang utama.
Subang mencatatkan peningkatan 48.4 peratus dalam pergerakan penumpang antarabangsa kepada kira-kira 582,000, manakala Kuching dan Tawau masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 34.1 peratus kepada 506,000 dan 52.4 peratus kepada 104,000.
Pulau Pinang kekal sebagai pintu masuk antarabangsa terbesar negara di luar KLIA, dengan mengendalikan 3.8 juta penumpang antarabangsa, peningkatan sebanyak 6.4 peratus.
Sementara itu, MAHB menyatakan bahawa enam perkhidmatan udara antarabangsa baharu telah diperkenalkan di KLIA, Pulau Pinang, dan Kota Kinabalu pada Oktober.
Ini termasuk penyambungan semula penerbangan terus Lufthansa antara Kuala Lumpur dan Frankfurt dengan lima perkhidmatan seminggu, penerbangan harian ZIPAIR antara Kuala Lumpur dan Tokyo Narita serta perkhidmatan harian Vietjet Thailand antara Kuala Lumpur dan Bangkok.
Di lapangan terbang serantau, Hainan Airlines melancarkan penerbangan dua kali seminggu antara Haikou dan Pulau Pinang pada 11 Oktober, manakala 9 Air memperkenalkan perkhidmatan baharu antara Haikou dan Kota Kinabalu pada hari yang sama. Batik Air pula memulakan penerbangan tiga kali seminggu antara Pulau Pinang dan Batam pada 18 Oktober.
Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata pengembangan perkhidmatan antarabangsa mencerminkan usaha untuk mengukuhkan kesalinghubungan Malaysia dengan pasaran-pasaran utama serta membangunkan lapangan terbang serantau.
“KLIA kekal sebagai pintu masuk antarabangsa utama kami, namun kami turut memberi tumpuan kepada pengembangan hubungan antarabangsa terus ke bahagian lain di Malaysia.
“Pertumbuhan yang dicatatkan di beberapa lapangan terbang serantau menunjukkan potensi lapangan terbang ini untuk menarik lebih banyak trafik antarabangsa serta menyokong pembangunan destinasi masing-masing,” katanya.
Mengenai prestasi operasi, MAHB memaklumkan bahawa prestasi ketepatan masa pelepasan adalah sebanyak 81 peratus di Terminal 1 KLIA dan 83 peratus di Terminal 2, dengan kira-kira lapan daripada setiap 10 penerbangan komersial berjadual berlepas dalam tempoh 15 minit daripada masa ditetapkan.
-- BERNAMA