BERITA TERKINI   Talian East-West Link yang menghubungkan Kolupis di Pantai Barat dan Segaliud di Pantai Timur berjaya disambung semula - CEO Sabah Electricity | Pembinaan menara ERS di Ranau siap petang ini, pemulihan bekalan elektrik ke Pantai Timur Sabah sedang dilakukan - Hajiji | 

Labuan IBFC Sasar Pertumbuhan Dipacu Teknologi, Perkukuh Daya Saing

LABUAN, 28 Nov (Bernama) -- Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) menyasarkan pertumbuhan seterusnya dipacu teknologi dengan penekanan meluas terhadap penerimagunaan teknologi digital, inovasi serta kerjasama rentas sektor bagi memperkukuh daya saing sebagai sebuah pusat kewangan antarabangsa.

Pengerusi Persatuan Insurans Antarabangsa Labuan (LIIA) Annie Undikai berkata ini sejajar dengan perkembangan pesat teknologi, perubahan aliran modal global serta risiko kian kompleks yang membentuk semula landskap kewangan, sekali gus meletakkan Labuan IBFC pada tahap penting fasa perkembangannya.

Sehubungan itu, beliau berkata kalangan penggiat industri perlu berganjak daripada amalan perniagaan konvensional dan menerima guna penyelesaian berteraskan teknologi untuk meningkatkan kecekapan operasi, pengurusan risiko serta penyampaian perkhidmatan masing-masing.

Ad Banner

“Perubahan teknologi yang pesat, peralihan aliran modal global dan risiko yang kian kompleks sedang membentuk semula sektor kewangan dan meletakkan Labuan IBFC pada titik perubahan amat penting.

“Bagi terus berkembang dalam landskap baharu ini, (satu) anjakan kuantum (lonjakan besar) memerlukan kita untuk melangkaui batasan konvensional, mengamalkan pemikiran di luar kebiasaan serta menerapkan teknologi pintar dalam penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan pengurusan risiko,” katanya pada Majlis Makan Malam Industri Labuan IBFC 2026 yang bertemakan ‘Quantum Leap’ di Dewan Konvensyen Financial Park, malam semalam.

Acara tahunan itu dianjurkan oleh LIIA dan merupakan sebahagian daripada penggiliran penganjuran yang merangkumi lima persatuan teras industri itu membabitkan sektor insurans, perbankan, perbankan pelaburan, amanah dan teknologi kewangan.

Ad Banner
Ad Banner

Majlis itu turut menghimpunkan kalangan penggubal dasar kanan, pengawal selia serta pemimpin industri bagi membincangkan keutamaan strategik menjelang 2027.

Menjelaskan selanjutnya, Undikai berkata teknologi juga bukan setakat sokongan, sebaliknya berperanan sebagai penggerak utama operasi perniagaan yang mempengaruhi kaedah penilaian serta pengurusan risiko kewangan dan penyampaian perkhidmatan rentas sempadan.

Beliau menegaskan, pelaburan terancang dalam keupayaan digital juga amat penting dalam pelbagai fungsi perniagaan, termasuk penajajaminan, penilaian risiko, khidmat pelanggan, pematuhan peraturan serta urus niaga rentas sempadan.

Antara inisiatif dilaksanakan atau dalam perancangan Labuan IBFC adalah Pusat Aset Digital Islam (IDAC) dan tokenisasi, Captain-Tech dan TakaCapt-Tech, rangka kerja perbankan digital serta pembrokeran wang digital selain pemodenan aspek penyeliaan dan risikan.

“Usaha mencapai kemajuan yang berterusan memerlukan industri bersatu, peraturan progresif serta komitmen bersama dalam membangunkan bidang kepakaran baharu,” katanya.

Undikai berkata LIIA dan persatuan-persatuan lain industri itu juga kekal komited untuk terus bekerjasama dengan Labuan FSA bagi mempercepat penerimagunaan teknologi, memperkukuh keupayaan industri terbabit serta memupuk kerjasama lebih erat bagi menjadikan Labuan IBFC sebuah pusat kewangan antarabangsa lebih dinamik, berdaya saing serta sedia menghadapi cabaran di masa depan.

-- BERNAMA