PNB, ASNB Peruntuk Lebih RM6.5 Juta Tahun Ini Bagi Perkasa Literasi Kewangan
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) memperuntukkan lebih RM6.5 juta pada tahun ini bagi memperkasa literasi kewangan dan pembangunan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif pendidikan serta pelaburan.
Daripada jumlah itu, PNB memperuntukkan RM5 juta bagi meneruskan program Celik MADANI yang menyasarkan lebih ramai pelajar di seluruh negara.
“Sebanyak RM1 juta pula diperuntukkan untuk memperkukuh inisiatif Kelab Pelaburan Bijak PNB yang melibatkan 500 sekolah di seluruh negara, manakala RM590,000 disalurkan bagi inisiatif ASNB Bijak yang menggalakkan ibu bapa memulakan pelaburan untuk anak-anak sejak usia muda,” menurut syarikat pengurusan dana itu menerusi satu kenyataan hari ini.
Menerusi inisiatif ASNB Bijak pula, ASNB akan menambah RM5 unit percuma bagi setiap pelaburan RM100 yang dibuat ke dalam akaun ASNB Bijak baharu, tertakluk kepada 118,000 akaun pertama.
“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan ibu bapa memulakan pelaburan untuk anak-anak sejak usia muda agar mereka dapat memanfaatkan kuasa pengkompaunan.
“Melalui pengkompaunan, pulangan pelaburan dilaburkan semula untuk menjana pertumbuhan berterusan dari semasa ke semasa, membantu mencapai matlamat kehidupan penting serta membina asas kewangan jangka panjang yang lebih kukuh,” tambah PNB.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan PNB Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2026 yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, dari 27 hingga 29 November ini mengangkat gerakan ‘Kita Generasi Labur’ bagi menggalakkan budaya menabung dan melabur dalam kalangan masyarakat.
“Kita Generasi Labur, satu ‘gerakan’ yang menyeru rakyat Malaysia membudayakan amalan menyimpan dan melabur, merentasi generasi.
“Gerakan Kita Generasi Labur adalah aspirasi kami untuk membina generasi yang celik kewangan dan berdaya tahan selaras dengan matlamat PNB mengukuh kedudukan kewangan rakyat merentas generasi,” katanya dalam ucapan di majlis pelancaran MSAM 2026 hari ini.
MSAM 2026 ini menyasarkan kehadiran 250,000 pengunjung menerusi kerjasama sulung dengan Karnival Jom Heboh.
-- BERNAMA