BERITA TERKINI   Pemulihan aset 1MDB cecah RM31.2 bilion setakat ini, iaitu 70 peratus daripada keseluruhan aset yang telah dikenal pasti - SPRM | 1MDB: Empat karya seni bernilai USD198,125 telah dibawa pulang ke Malaysia - SPRM  | Krisis tenaga global: Kadar Bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April 2026 - Akmal Nasrullah | Krisis tenaga global:Kadar bantuan tunai BUDI Diesel Individu dinaikkan kepada RM400 sebulan berbanding RM300 bagi April 2026 - Akmal Nasrullah | Kerajaan setuju tingkatkan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan B12, tanpa kos tambahan menggunakan infrastruktur sedia ada - Akmal Nasrullah | 
Ad Banner

Petronas, Eni Dari Itali Meterai Usaha Sama Teroka Kerjasama Sektor Huluan Serantau

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memeterai Perjanjian Rangka Kerja Usaha Sama (JVFA) dengan syarikat tenaga dari Itali, Eni, bagi meneruskan perbincangan dan penilaian ke arah penubuhan sebuah syarikat usaha sama serantau dalam sektor huluan. 

Perjanjian ini merupakan lanjutan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Disember 2024.

Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata JVFA ini mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat untuk menggabungkan kepentingan huluan terpilih di Malaysia dan Indonesia.

Ad Banner

Petronas menjangkakan perjanjian ini akan menyumbang kepada pengeluaran mampan sehingga 500,000 tong setara minyak sehari, melibatkan kira-kira tiga bilion tong daripada rizab yang telah dibangunkan serta kira-kira 10 bilion tong daripada potensi penerokaan.

“Perjanjian itu disasarkan untuk dimuktamadkan menjelang akhir 2025, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia, kerajaan, dan rakan kongsi,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam satu kenyataan berasingan, Petronas CCS Ventures Sdn Bhd (PCCSV), MISC Bhd (MISC), dan Mitsui OSK Lines Ltd (MOL) mengumumkan penubuhan syarikat usaha sama strategik, Jules Nautica Sdn Bhd.

Ad Banner
Ad Banner

PCCSV merupakan anak syarikat milik penuh Petronas.

Usaha sama ini akan menerajui pembangunan serta menjadi pemilik utama kapal pengangkut karbon dioksida cecair (LCO2), yang penting untuk pengangkutan karbon dioksida ke lokasi penyimpanan yang ditetapkan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan penyelesaian pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).

Petronas berkata usaha sama ini disasarkan menjadi peneraju dalam pemilikan kapal LCO2, sekali gus memudahkan pengangkutan karbon secara selamat dan efisien ke tapak penyimpanan yang ditentukan.

“Dengan memberi tumpuan kepada projek CCS pada masa hadapan di seluruh rantau Asia Pasifik, syarikat usaha sama ini juga akan memainkan peranan penting dalam melengkapkan rantaian nilai CCS.

“Melalui perjanjian komersial strategik bersama industri pengeluar dan syarikat penyimpanan karbon dioksida, kerjasama ini akan menyediakan penyelesaian rentas sempadan yang penting untuk memenuhi keperluan alam sekitar dan peraturan yang semakin meningkat,” kata Petronas.

-- BERNAMA