BERITA TERKINI   PRN Sarawak : Kejayaan GPS menang tanpa bertanding banyak kerusi cerminkan perpaduan parti komponen - TPM Ahmad Zahid | PRN Sarawak: 29 kerusi menang tanpa bertanding catat rekod tertinggi, atasi 19 kerusi pada 1996 - Pengerusi SPR | PRN Sarawak: Lebih 632,000 pengundi di 29 DUN menang tanpa bertanding tidak perlu keluar mengundi - Pengerusi SPR | PRN Sarawak: 168 calon disahkan bertanding di 53 DUN, GPS menang 29 kerusi tanpa bertanding - Pengerusi SPR | Semua yang terlibat kes seludup dadah guna aset TUDM akan dikesan sehingga ke lubang cacing - Mohamed Khaled | 

BNM Lancar RENTAS+, Penyelesaian Pembayaran Antara Bank 24 Jam Sehari Tujuh Hari Seminggu

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) melancarkan RENTAS+, penambahbaikan kepada Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) bagi membolehkan pemindahan dana dan penyelesaian antara bank secara berterusan, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.

“Pengembangan RENTAS menerusi penyelesaian transaksi pembayaran runcit secara berterusan ini membolehkan institusi kewangan untuk menguruskan secara lebih baik risiko kredit dan risiko penyelesaian yang timbul berikutan perkembangan pesat pembayaran runcit segera,” kata BNM dalam kenyataan hari ini.

Menurut bank pusat, sebelum RENTAS+, pembayaran runcit diselesaikan dua kali sehari pada asas bersih tertunda.

Ad Banner

Walaupun cekap, penyelesaian bersih tertunda mempunyai risiko kredit dan risiko penyelesaian yang sedia ada kerana dedahan kredit antara bank hanya terlangsai dua kali sehari, katanya.

“Kebanyakan risiko ini diatasi dengan RENTAS+ kerana transaksi DuitNow (yang merangkumi pemindahan dana, pembayaran QR dan pembayaran e-dagang) kini diselesaikan pada asas pukal, dengan Payments Network Malaysia (PayNet) menghantar transaksi DuitNow kepada RENTAS+ untuk proses penyelesaian selepas setiap transaksi pelanggan selesai,” katanya.

Bagi membantu penyelesaian sepanjang masa ini, BNM turut memperkenalkan kemudahan mudah tunai automatik 24 jam sehari, tujuh hari seminggu menggunakan perjanjian belian balik (repo) dan perjanjian jual dan beli balik (SBBA).

Ad Banner
Ad Banner

Bank pusat berkata sejak 2024, jumlah dan nilai transaksi pembayaran runcit harian telah meningkat masing-masing sebanyak 49 peratus dan 22 peratus.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata RENTAS+ mengukuhkan daya tahan infrastruktur pasaran kewangan Malaysia sambil menyediakan platform penyelesaian yang selamat, mampu diperluas dan fleksibel untuk menjalankan inovasi pada masa hadapan.

“Pencapaian ini juga menunjukkan komitmen BNM untuk meletakkan RENTAS sebagai pemangkin dan penggerak inovasi dalam pasaran kewangan," katanya.

-- BERNAMA