BERITA TERKINI   153 laporan polis diterima setakat 3 petang berhubung kenyataan Puad Zarkashi - Ketua Polis Johor | Singapura naikkan bayaran masuk teksi Malaysia ke S$15 setiap perjalanan bermula 1 Jan, 2027 - LTA  | Malaysia melepasi kapasiti tenaga boleh baharu 13.3GW pada 2025, dipacu oleh pertumbuhan pesat tenaga solar - TPM Fadillah | Malaysia menyasarkan 118 juta liter air terawat sehari menjelang 2030 untuk kegunaan industri, meningkat daripada pengeluaran semasa 48.5 juta liter sehari - TPM Fadillah | 

Ekonomi Malaysia Tunjuk Prospek Positif, Indeks Pelopor Naik 1.29 Peratus Pada April 2026 – DOSM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Ekonomi Malaysia terus menunjukkan prospek yang optimistik dalam jangka masa terdekat, seperti yang ditunjukkan dalam prestasi Indeks Pelopor (IP), yang meningkat sebanyak 1.29 peratus kepada 115.0 mata pada April 2026, berbanding 113.5 mata pada bulan sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu didorong oleh prestasi positif dalam beberapa komponen, terutamanya bilangan unit rumah yang diluluskan iaitu sebanyak 35.5 peratus. 

“Bagaimanapun, peningkatan ini diimbangi oleh penurunan dalam tiga komponen lain, yang menjejaskan keseluruhan momentum pertumbuhan,” katanya. 

Ad Banner

 Dari segi bulanan, Mohd Uzir berkata peningkatan IP sebanyak 1.25 peratus pada April 2026, disokong oleh bilangan syarikat baharu yang didaftarkan dan import sebenar semikonduktor, yang masing-masing menyumbang sebanyak 0.9 peratus, selaras dengan perkembangan aktiviti ekonomi berasaskan teknologi dan permintaan berterusan dalam sektor elektrik dan elektronik. 

“Melihat kepada trend jangka panjang yang lancar pada April 2026, IP kekal di bawah 100.0 mata, sekali gus mencerminkan prospek pertumbuhan ekonomi yang optimistik di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan. 

“Bagaimanapun, aktiviti pelaburan yang berterusan selain permintaan berkaitan teknologi digital dan pusat data dijangka kekal sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara,” tambahnya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Dalam tempoh yang sama, Mohd Uzir berkata Indeks Serentak (IS) yang mengukur keadaan ekonomi semasa, meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada 131.6 mata pada April 2026 daripada 128.3 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, didorong oleh peningkatan merentasi semua komponen, terutamanya Indeks Pengeluaran Perindustrian, yang meningkat sebanyak 8.3 peratus. 

Dari perspektif bulanan, IS meningkat sebanyak 0.9 peratus berbanding 0.8 peratus pada bulan sebelumnya, didorong oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian (0.6 peratus) dan Kapasiti Penggunaan Dalam Pembuatan (0.5 peratus). 

-- BERNAMA