BERITA TERKINI   153 laporan polis diterima setakat 3 petang berhubung kenyataan Puad Zarkashi - Ketua Polis Johor | Singapura naikkan bayaran masuk teksi Malaysia ke S$15 setiap perjalanan bermula 1 Jan, 2027 - LTA  | Malaysia melepasi kapasiti tenaga boleh baharu 13.3GW pada 2025, dipacu oleh pertumbuhan pesat tenaga solar - TPM Fadillah | Malaysia menyasarkan 118 juta liter air terawat sehari menjelang 2030 untuk kegunaan industri, meningkat daripada pengeluaran semasa 48.5 juta liter sehari - TPM Fadillah | 

Malaysia Perkukuh Kesalinghubungan Udara China, Indonesia Menerusi Perkhidmatan Baharu

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh kesalinghubungan udara dengan China dan Indonesia menerusi pelancaran empat perkhidmatan antarabangsa baharu oleh Hainan Airlines, China Eastern Airlines, Wings Air dan AirAsia, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam satu kenyataan hari ini, MAHB berkata laluan baharu itu menghubungkan Kuala Lumpur dengan Chongqing serta Dalian menerusi Nanjing di China, selain Melaka dengan Pekanbaru di Indonesia dan Kota Bharu dengan Jakarta, sekali gus memperluas pilihan perjalanan antara Malaysia dan dua pasaran serantau utamanya.

Pengarah Urusannya Datuk Mohd Izani Ghani berkata penambahan laluan itu mencerminkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam rangkaian penerbangan negara.

Ad Banner

“Ketika Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus memperluas hubungannya dengan pasaran antarabangsa utama, lapangan terbang seperti Melaka dan Kota Bharu turut mengukuhkan rangkaian antarabangsa masing-masing.

“Ini memperluas akses kepada pasaran baharu, menyokong aktiviti pelancongan dan perniagaan serta menawarkan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang,” katanya.

Menurut MAHB, Hainan Airlines memulakan penerbangan antara Chongqing (CKG) dan KLIA (KUL) pada 16 Mei, diikuti China Eastern Airlines yang melancarkan perkhidmatan dari Dalian (DLC) menerusi Nanjing (NKG) ke KLIA pada 23 Jun.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Bagi rangkaian lapangan terbang serantau pula, Wings Air memperkenalkan penerbangan tiga kali seminggu antara Pekanbaru (PKU) dan Lapangan Terbang Melaka (MKZ) pada 10 Jun, manakala AirAsia melancarkan perkhidmatan empat kali seminggu yang menghubungkan Jakarta (CGK) dengan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan (KBR) pada 16 Jun.

“Dengan penambahan ini, rangkaian MAHB kini merangkumi 15 syarikat penerbangan berpangkalan di China. Selain KLIA, perkhidmatan baharu ini turut menyerlahkan peranan yang semakin penting dimainkan oleh lapangan terbang domestik Malaysia dalam menyokong kesalinghubungan udara antarabangsa.

“Laluan Pekanbaru dan Jakarta masing-masing merupakan perkhidmatan antarabangsa kedua bagi Lapangan Terbang Melaka dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, sekali gus memperluas akses ke pasaran luar negara serta membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perdagangan dan perjalanan perniagaan,” katanya.

-- BERNAMA