BERITA TERKINI   PM Anwar catat kadar sokongan 52 peratus, tertinggi berbanding pemimpin politik lain - tinjauan Merdeka Centre | 153 laporan polis diterima setakat 3 petang berhubung kenyataan Puad Zarkashi - Ketua Polis Johor | Singapura naikkan bayaran masuk teksi Malaysia ke S$15 setiap perjalanan bermula 1 Jan, 2027 - LTA  | 

Persidangan Cukai ACCA Gesa Kerjasama Pintar Awam-Swasta Diperkukuh

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Usaha memperkukuh daya tahan ekonomi dan memperkasa kerjasama pintar antara sektor awam dan swasta dilihat penting ketika Malaysia melonjakkan pembaharuan fiskal serta berikutan senario ketidaktentuan global.

Kepentingan itu diketengahkan oleh Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) yang menganjurkan Persidangan Fokus Cukai Pertengahan Tahun ACCA 2026 pada Rabu.

Ketua Portfolio Maritim Asia Tenggara ACCA Andrew Lim berkata acara itu juga seiringan dengan kepesatan sistem percukaian Malaysia bagi menyokong matlamat ekonomi yang lebih meluas.

Ad Banner

“Kita perlu mengakui bahawa dasar percukaian tidak wujud secara terasing dan (sebaliknya) berkait rapat dengan matlamat ekonomi lebih menyeluruh, termasuk pertumbuhan pelaburan, daya saing perniagaan dan pembangunan negara.

“Atas alasan ini, platform seperti persidangan hari ini menjadi penting kerana membantu merapatkan jurang antara hasrat dasar dan pelaksanaan yang praktikal,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan semalam.

Hadir sama pada majlis itu adalah Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Persidangan sehari itu menghimpunkan kalangan penggubal dasar, pihak berkuasa percukaian dan profesional kewangan bagi membincangkan dimensi operasi dan strategik kerangka cukai Malaysia yang berubah.

Bercakap pada sesi bual santai, Liew menyifatkan cukai penggunaan seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai sesuatu “tidak dapat dielakkan” dan “masih diperlukan” dalam usaha membina masyarakat yang lebih makmur.

“Negara akan lebih bersedia jika kita beralih daripada hanya memikirkan soal kecekapan dan kos kepada usaha membina daya tahan ekonomi jangka panjang dengan memperkukuh rantaian bekalan serta memastikan ekonomi kita ini terjamin dari segenap sudut,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata belanjawan akan datang menjadi peluang penting bagi mengukuhkan daya tahan Malaysia untuk merentasi pelbagai aspek hubungan serta ekosistem.

Berkongsi pandangan melangkaui komuniti percukaian, Liew berkata dimensi sosial dalam kelestarian atau komponen ‘S’ dalam rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), masih menjadi aspek paling kurang berkembang atau diberi perhatian agenda itu dengan aspek gaji atau sara hidup menjadi teras.

Beliau juga menyifatkan cukai penggunaan itu sebagai regresif berbanding progresif dan menekankan matlamat jangka panjang yang lebih bermakna adalah penting bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memperoleh pendapatan mencukupi sebelum dapat menyumbang kepada asas cukai.

Sesi bual santai itu dilkendalikan oleh Pengarah Eksekutif ACCA ExpertLink dan TRATAX Thenesh Kannaa yang turut berkongsi perspektif mengenai takrifan semula percukaian sebagai pemangkin strategik kepada pertumbuhan perniagaan selain mengupas perkembangan terkini berkaitan cukai langsung.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik dan Advokasi Dasar (Pembuatan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Yusni Md Yusop pula membentangkan Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) dan disusuli dengan sesi berkaitan strategi praktikal bagi pengurusan audit cukai.

Sesi pagi berkenaan diakhiri dengan pembentangan oleh Pengurus Penetapan Harga Pindahan TRATAX Nasha Raina Rahim mengenai aspek itu serta pertimbangan utama pematuhan yang perlu diberi perhatian oleh perniagaan.

 Pada sebelah petang, Pengarah Bahagian E-Invois Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Rasyidah Che Rosli mengetengahkan pandangan mengenai audit pematuhan e-invois serta peluang melakukan pendedahan secara sukarela.

Sesi terakhir itu menyaksikan Thenesh turut membentangkan perkembangan utama berkaitan cukai langsung, termasuk percukaian korporat, duti setem, hal-hal percukaian Labuan serta keputusan awam selain garis panduan teknikal terkini dikeluarkan LHDN.

Menurut ACCA, perbincangan pada persidangan itu memaparkan pandangan bersama mengenai kepentingan percukaian yang semakin berperanan sebagai komponen pengurusan ekonomi negara dan memerlukan penyelarasan bersama antara penggubal dasar, pengawal selia dan komuniti profesional.

-- BERNAMA