Niaga Hadapan KLCI Dijangka Berlegar Dalam Julat 1,670–1,690 Minggu Depan
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal positif secara berhati-hati pada minggu depan, diniagakan antara 1,670 hingga 1,690 mata disebabkan aktiviti memburu saham murah, tekanan luaran yang semakin reda dan sentimen serantau yang memulih.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran bertambah baik susulan aktiviti memburu saham murah selepas pasaran mengalami pembetulan baru-baru ini, manakala harga minyak mentah Brent yang semakin menurun membantu meredakan kebimbangan terhadap tekanan inflasi.
Beliau menambah sentimen itu turut disokong oleh ketegangan geopolitik yang semakin reda dan jangkaan yang meningkat bahawa keadaan guna tenaga AS yang lemah boleh mengekalkan Rizab Persekutuan AS berada di landasan yang betul untuk mengurangkan kadar faedah pada akhir tahun ini.
“Di peringkat domestik, indeks petunjuk pasaran menunjukkan daya tahan yang baik, dengan sokongan kuat dilihat sekitar paras 1,660 mata ketika ditutup pada Jumaat, sekali gus mencerminkan minat belian masih kekal, terutamanya untuk saham-saham mewah terpilih yang mempunyai penilaian menarik.
Bagaimanapun, untuk pasaran meningkat ia masih dipengaruhi oleh aliran keluar masuk dana asing dan pemangkin domestik yang kuat,” kata Thong kepada Bernama.
Bagi minggu dagangan yang baru berakhir, kontrak niaga hadapan FBM KLCI kebanyakannya ditutup lebih tinggi.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Julai 2026 meningkat 17.5 mata kepada 1,687.0, September 2026 melonjak 18.5 mata kepada 1,668.5 dan kontrak Disember 2026 menokok 17 mata kepada 1,670.0. Kontrak bulan semerta baharu Ogos 2026 berada pada 1,689.0.
Jumlah dagangan mingguan susut kepada 61,231 lot daripada 146,493 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka rendah kepada 33,787 kontrak daripada 93,884 kontrak pada minggu sebelumnya.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, indeks petunjuk pasaran meningkat 11.31 mata kepada 1,679.05 daripada 1,667.74 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA