Magma Selesaikan Penebusan RPS RM47.71 Juta Melalui Tolakan Saham
KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Magma Group Bhd menyelesaikan penebusan saham keutamaan boleh tebus tidak boleh tukar (RPS) miliknya melalui kaedah tolakan saham selepas penyenaraian 166.42 juta saham biasa baharu di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.
Langkah ini sekali gus menyempurnakan pelaksanaan penebusan kumpulan bernilai RM47.71 juta.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Thomas Liang Chee Fong berkata penyelesaian tolakan RPS berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh struktur modal kumpulan itu.
“Penyelesaian tolakan RPS ini membolehkan Magma menyelesaikan obligasi sedia ada melalui mekanisme bukan tunai yang berhemat selain mengekalkan kefleksibelan kewangan untuk menyokong fasa pertumbuhan kami yang seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Liang berkata, pelaksanaan tersebut amat tepat pada masanya memandangkan kumpulan itu terus memajukan inisiatif strategiknya termasuk pembangunan Wolo Hotel & Residences dan Wolo Mont Kiara KL, sambil mengekalkan tumpuannya dalam sektor perhotelan dan pembangunan hartanah.
“Pelaksanaan ini mencerminkan pendekatan berdisiplin kami terhadap peruntukan modal serta komitmen untuk memberikan nilai jangka panjang yang mampan kepada para pemegang saham,” tambah beliau.
Magma menjelaskan, penebusan itu diselesaikan sepenuhnya melalui terbitan 166.42 juta saham biasa baharu kepada Skyload Express Sdn Bhd, selaku pemegang RPS pada harga terbitan 28.67 sen sesaham.
Susulan pelaksanaan tersebut, modal saham terbitan kumpulan yang diperbesar meningkat kepada RM360.66 juta merangkumi 1.93 bilion saham biasa.
Syarikat yang terlibat dalam sektor hospitaliti, hartanah dan gaya hidup itu memaklumkan, pelaksanaan itu juga menghapuskan obligasi dividen masa hadapan yang terikat pada RPS berkenaan yang sebelum ini membawa kadar dividen tetap sebanyak empat peratus setahun, sekali gus meningkatkan kefleksibelan kewangan kumpulan.
-- BERNAMA