BERITA TERKINI   Jajaran baharu menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan Kompleks CIQ Sadao, Thailand, akan bantu merancakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua wilayah - PM Anwar  | PRN Johor: Poster fizikal kempen tidak gambarkan calon sebenar perlu diturunkan - SPR | PRN Johor: 43,036 petugas digerakkan esok, pastikan proses pengundian teratur | PRN Johor : SPR jangka peratusan keluar mengundi esok capai 70 peratus | 

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Berikutan Ketegangan Baharu Di Asia Barat

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah pada Khamis apabila ketegangan geopolitik baharu di Asia Barat menjejaskan sentimen pelabur.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.97 mata atau 0.36 peratus kepada 1,677.64 daripada 1,683.61 ketika ditutup semalam.

Ad Banner

Indeks penanda aras dibuka 2.62 mata lebih rendah kepada 1,680.99, dan bergerak antara 1,676.18 dengan 1,683.80 sepanjang dagangan.

Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhannya positif sedikit, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 533 berbanding 504, manakala 547 kaunter tidak berubah, 1,112 kaunter tidak diniagakan, dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.64 bilion unit bernilai RM2.19 bilion daripada 2.96 bilion unit bernilai RM2.18 bilion pada Rabu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata sentimen pasaran menjadi berhati-hati selepas Amerika Syarikat melancarkan serangan hari kedua berturut-turut terhadap sasaran di Iran untuk melindungi kapal yang melalui Selat Hormuz, di samping membatalkan pengecualian eksport minyak yang diberikan kepada Iran.

Beliau berkata tindakan itu menandakan kemungkinan peningkatan ketegangan seterusnya sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai bekalan tenaga global.

“Walaupun prestasi indeks adalah rendah namun, keseluruhan pasaran bertambah baik berbanding semalam, dengan saham untung mendahului apabila didorong kenaikan keseluruhan merentas perkhidmatan kewangan, pengguna, telekomunikasi dan perindustrian.

“Ini menunjukkan pembelian ketika harga murah terpilih dan asas daya tahan dalam ekuiti domestik,” katanya kepada Bernama.

Mod Sedek berkata pada masa sama, keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus memberikan kepastian dasar, mengukuhkan keyakinan terhadap prospek ekonomi domestik dan memberikan lebih kejelasan kepada perniagaan dan pelabur untuk keputusan pelaburan dan pengembangan.

Terdahulu hari ini, BNM dalam kenyataan mengumumkan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) mengekalkan OPR pada 2.75 peratus bagi tempoh ketujuh berturut-turut.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing susut lapan sen kepada RM10.86 dan RM4.85, CIMB turun empat sen kepada RM7.60 manakala Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM14.30 dan RM8.32.

Bagi saham aktif, SRKK AI yang baru disenaraikan di Pasaran ACE melonjak 29 sen kepada 61 sen, Dagang NeXchange naik satu sen kepada 44 sen, Nationgate dan Tanco masing-masing menokok setengah sen kepada 80.5 sen dan 19 sen, manakala Zetrix AI susut 2.5 sen kepada 72.5 sen.

Antara saham paling untung, Malaysian Pacific Industries meningkat 56 sen kepada RM46.26, Kelington menambah 28 sen kepada RM7.98, Nestle meningkat 20 sen kepada RM91.30, dan MI Technovation menambah 19 sen kepada RM4.82.

Fraser & Neave mendahului senarai saham paling rugi apabila merosot 72 sen kepada RM28.92, manakala Hong Leong Bank susut 38 sen kepada RM21.70, BLD Plantation kurang 36 sen kepada RM14.84, Kuala Lumpur Kepong turun 28 sen kepada RM21.22 dan Petronas Chemicals menguncup 12 sen kepada RM4.35.

Bagi pasaran yang lebih luas, Indeks FBM Emas turun 21.53 mata kepada 12,440.48; Indeks FBMT 100 turun 25.66 mata kepada 12,268.10 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 15.09 mata kepada 12,280.28, Indeks FBM 70 menokok 39.29 mata kepada 17,797.64, dan Indeks FBM ACE menambah 44.32 mata kepada 4,891.09.

Dari segi sektor, Indeks Tenaga naik 2.62 mata kepada 773.96, Indeks Perladangan turun 17.40 mata kepada 9,076.98, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.14 mata kepada 180.66, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 157.35 mata kepada 19,828.08.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.09 bilion unit bernilai RM1.83 bilion daripada 1.18 bilion unit bernilai RM1.87 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.03 bilion unit bernilai RM138.27 juta kepada 1.35 bilion unit bernilai RM170.96 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 520.91 juta unit bernilai RM219.12 juta daripada 425.13 juta unit bernilai RM138.50 juta semalam.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 142.08 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (188.43 juta), pembinaan (79.78 juta), teknologi (249.38 juta), perkhidmatan kewangan (56.27 juta), hartanah (124.35 juta), perladangan (30.12 juta), amanah pelaburan hartanah (8.54 juta), dana tertutup (25,900), tenaga (76.39 juta), penjagaan kesihatan (48.90 juta), telekomunikasi dan media (24.28 juta), pengangkutan dan logistik (33.56 juta), utiliti (31.03 juta), dan amanah perniagaan (75,000).

-- BERNAMA