Enest Group Tingkat Pengeluaran Dengan Kemudahan Baharu Di Kajang
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Enest Group Bhd merancang menggandakan kapasiti pengeluaran sarang burung walit menerusi pembangunan kemudahan pembuatan baharu di Kajang yang dijangka mula beroperasi pada 2028.
Ketua Pegawai Operasinya Lok Chyi Yeu berkata kemudahan baharu itu dijangka menggandakan pengeluaran syarikat yang ketika ini menghasilkan sebanyak 18,000 tan.
"Bagi kilang baharu ini, kami merancang peningkatan kapasiti yang lebih besar. Sekurang-kurangnya kami akan menggandakan kapasiti semasa dengan lebih banyak produk untuk pasaran eksport.
"Selepas memperoleh kilang baharu itu, kami masih perlu melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian selain mengemukakan permohonan serta mendapatkan permit dan lesen yang diperlukan," katanya pada sidang media sempena majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.
Pengarah Eksekutifnya, Tan Teh Sheng berkata pengambilalihan kilang baharu itu dijangka selesai tahun ini, manakala kerja-kerja pengubahsuaian dan proses mendapatkan lesen dijangka mengambil masa kira-kira setahun sebelum pengeluaran bermula pada 2028.
Enest mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 13 sen hari ini, tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO), dengan sebanyak 15.82 juta saham diniagakan.
Mengulas lanjut, Lok berkata industri sarang burung walit dijangka terus berkembang didorong peningkatan permintaan global, sejajar pertambahan pendapatan dan kuasa beli pengguna yang membolehkan lebih ramai mendapatkan produk berkenaan.
Beliau berkata permintaan dijangka terus mengukuh di pasaran eksport dan domestik susulan peningkatan kesedaran pengguna terhadap manfaat produk sarang burung walit.
Pengarah Urusan Tan Teh Jie pula berkata syarikat turut merancang meluaskan eksport produk sarang burung walit ke pasaran baharu termasuk Kanada, manakala China kekal sebagai pasaran eksport terbesar syarikat, diikuti Australia dan New Zealand.
-- BERNAMA